Ahad, 7 Ogos 2016

Semua negeri digesa haram Pokemon Go

Pokemon GO


IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa semua negeri mengisytiharkan permainan siber Pokemon Go dan Pokemon sebagai haram.

Menurutnya, tindakan itu perlu dibuat memandangkan permainan berkenaan dibimbangi mempunyai unsur perjudian selain mampu melalaikan masyarakat termasuk umat Islam.

“Perkara berkaitan pengharaman permainan ini saya ada ulas sejak minggu lepas lagi. Sebarang perkara yang melibatkan perjudian dan melalaikan, ia adalah haram.

“Bagi saya, pengharaman permainan ini perlu dibuat dan melibatkan semua negeri di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, perkara yang sudah sedia haram juga tidak perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri sepertimana hukum ditetapkan terhadap arak.

“Tak perlu perbincangan sebab permainan itu sudah jelas haram dan bertentangan dengan Islam,” katanya.

Sebelum ini, Wilayah Persekutuan menjadi negeri pertama yang mengisytiharkan permainan siber Pokemon Go dan Pokemon sebagai haram.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Isnin lalu, selepas penelitian bersandarkan nas dan faktor maslahah serta kemudaratan yang boleh berlaku.

Kelmarin, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu memutuskan karakter Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Katanya, setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini memudaratkan.

“Di samping itu, mengiakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas kuat.

“Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku seperti pengintipan pihak luar, pencerobohan ruang peribadi, faktor keselamatan serta kemalangan, kelalaian dan sebagainya,” katanya.

Zulkifli berkata, pihak jawatankuasa Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar masyarakat memilih bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, serta tidak mempunyai usur khurafat.

Untuk rekod, setakat ini, Pokemon Go telah diharamkan di Arab Saudi.

Tiada ulasan: