Ahad, 21 Ogos 2016

SELCAT tidak peduli aduan pengadu tak berkredibiliti - Haniza Talha [TONTON VIDEO]

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) tidak akan membuat pendengaran awam terhadap dakwaan yang dikemukakan oleh individu yang tiada kredibiliti.
 
Ahli Jawatankuasanya Haniza Mohamed Talha berkata, usul yang dibuat pegawai khas Datuk Teng Chang Khim, Abdul Razak Ismail bersabit isu Paya Indah Wetlands itu menimbulkan kesangsian, sedangkan beliau tidak terlibat dalam keputusan mengubah status tanah kawasan itu. 
 
"Siapa Abdul Razak ni? Dia mewakili siapa? NGO? Persatuan penduduk ke? (Atau) kepentingan awam ke? Kalau tak silap usul ni dibawa secara individu.   
 
"Kalau tengok dari segi etika, (cara) itu tak betul dan perkara itu bukan dalam bidang kuasa dia (Razak). Dia bukan bersama (dengan kerajaan negeri) buat keputusan tu.
 
"Lagi pula dia pegawai yang tak ada kena mengena dengan keputusan tu, dia (Razak) cuma kerani di pejabat (Datuk Teng)," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Razak melalui posting laman Facebooknya mendedahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuat kesilapan semasa meluluskan pengezonan semula lot tanah 68054 milik Paya Indah Wetlands.
 
Jelas beliau, kesilapan MMKN adalah terlepas pandang bahawa lot tanah tersebut adalah sebahagian daripada milik Paya Indah Wetlands, sekaligus meminta SELCAT memanggil sidang khas bagi membincangkan 'kesilapan' itu.
 
Haniza kemudiannya mempersoalkan usul yang dikemukakan Razak kerana hanya bersandarkan kepada laporan minit mesyuarat.
 
Minit mesyuarat itu secara jelas menunjukkan Menteri Besar Selangor terdahulu, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak permohonan sebuah syarikat swasta untuk menukar status tanah daripada pertanian kepada komersial kerana ia sebahagian kawasan Paya Indah Wetlands dan berdepan risiko jika ia dibangunkan.  
 
"(Macam-mana) Pegawai kerja dengan Exco lepas tu pegawai tu suruh SELCAT siasat keputusan Exco, sebab Datuk Teng adalah sebahagian daripada eksekutif yang buat keputusan tu.
 
"Jadi peliklah macam mana pegawai kat pejabat dia sendiri (Datuk Teng) buat tuduhan terhadap majikan dia? Macam dari segi etika itu tak betullah.
 
"Dia (Razak) hanya berpandukan dokumen minit mesyuarat MMKN dan lot nombor tanah tu," jelas beliau lagi.
 
Isu ini mula didedahkan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin tetapi exco bertanggungjawab Elizabeth Wong menafikan tuduhan bahawa kerajaan negeri melakukan pelengkungan semula sebidang tanah pertanian di Paya Indah Wetlands. 
 
Sebaliknya menjelaskan lot yang dinyatakan oleh Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard itu adalah milik persendirian.
 
Chegubard bertegas kenyataan Elizabeth bercanggah dengan kenyataan Khalid dalam minit mesyuarat (yang sama dirujuk Razak) bahawa kawasan itu adalah milik Paya Indah Wetlands.
 
Justeru Chegubard berkata Elizabeth dan kerajaan Selangor sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat negeri itu.
 
Chegubard pada 26 Ogos ini akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu. 



Tiada ulasan: