Isnin, 15 Ogos 2016

Polis belum putuskan benar demo #TangkapMO1

Zulaikha Zulkifli


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihak polis akan mengkaji terlebih dahulu permohonan penganjur perhimpunan #TangkapMO1 sebelum memberikan sebarang kebenaran.

Menurut Khalid, penganjur juga perlu mengikut peruntukan bawah Akta PerhimpunanAman untuk menganjurkan perhimpunan pada 27 Ogos depan.

"Dia (penganjur) kena ikut peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman. Kalau dia ikut peruntukan-peruntukan akta itu, kita akan kaji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada terdapat lokasi tertentu yang akan dibenarkan oleh pihak polis, Khalid berkata permohonan untuk mengadakan perhimpunan itu perlu dihantar terlebih dahulu.

"Tengok mana dia nak mohon (lokasi). Dia kena hantar dulu permohonan (notis) dia. Baru kita buat ulasan-ulasan," katanya lagi.

Sementara itu, penganjur perhimpunan #TangkapMO1 akan menghantar notis makluman kepada polis di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur esok.

Jurucakapnya, Anis Syafiqah berkata notis itu akan dihantar 10 hari sebelum perhimpunan itu berlangsung seperti dikehendaki undang-undang.

Kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai “Gabungan #TangkapMO1” merancang perhimpunan serentak di dua lokasi berasingan pada 27 Ogos ini, iaitu di Kota Kinabalu, Sabah dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Di ibu kota kumpulan itu merancang berkumpul di beberapa lokasi sebelum berarak menuju tempat terakhir di Dataran Merdeka.

Malaysian Official 1 (MO1) dinamakan 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) bagi merampas aset lebih AS$ bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB di negara itu.

Pengkritik mendakwa ia merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata DOJ hanya menyebut MO1 dan tidak menamakan Najib kerana beliau tidak terlibat atau menjadi sebahagian daripada siasatan.


Tiada ulasan: