Rabu, 17 Ogos 2016

Penerima hak milik terkenang diketawakan di era BN bila bangkit isu tanah



OLEH NAZLI IBRAHIM


SABAK BERNAM: Penerima hak milik tanah di Kampung Batu 23, Sungai Nibong terharu apabila akhirnya diberi hak milik tanah yang didiami mereka selepas berusaha selama berpuluh tahun untuk mendapatkannya.

Penduduk asal kampung terbabit, Jamal Dasuki, 70an, berkata lebih terharu lagi apabila beliau pernah diketawakan pemimpin Barisan Nasional (BN), Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas beliau membangkitkan isu hak milik tanah pada majlis yang dihadiri Menteri Besar ketika itu, Dr Khir Toyo.

“Masa itu diperintah oleh Menteri Besar Dr Khir Toyo. Dia pernah datang sini pada masa itu. Tok Sidang dan AJKKK pun ada pada masa itu, semua ada.

“Saya bercakap di dewan pada masa itu, dia orang ketawakan saya macam seolah-olah saya tak percaya. Kemudian, kali kedua saya suarakan, pun saya diketawakan.

“Cuma disebut, arwah Tok Sidang tu kata tanah kelompok ini satu geran dan dipegang oleh AJKKK Kampung ini. Saya pun rasa kecewalah. Itu di zaman pemerintah BN,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Desa Kasih, Kampung Batu 23, Sungai Nibong di sini, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan pada 11 Ogos lalu itu melibatkan 31 penerima yang turut merupakan penduduk asal kampung sama.

Katanya, beliau bersyukur kerana diberi hak milik tanah yang didiami sejak berpuluh tahun lalu.

“Peristiwa diketawakan itu semasa pemerintahan BN. Kita ini dari zaman arwah atuk saya memang orang sebelah ‘itulah’, bukan yang sekarang sebab kita masa masa tu tak tahu tetapi tak apalah, kita bersyukur nampaknya orang sekarang inilah dibuka pintu hatinya dan dihormati,” kata Jamal lagi.

Zainuddin Samingan, 56, pula berkata perasaannya sangat gembira kerana penantiannya selama lebih 20 tahun akhirnya berakhir.

“Syukur kerana inilah penantian selama 20 tahun dan syarat yang diberi juga tak membebankan, boleh diterima,” katanya.

Sementara itu, Noryatimah Sanury, 57, pula memberitahu beliau pernah memohon hak milik tanah semasa di era BN tetapi ditolak mentah-mentah.

“Saya mula tinggal di sini sejak 1974. Sebelum ini pernah memohon tetapi tidak dapat, jadi perasaan tu memang gembira kerana dah lama menanti baru sekarang dapat,” kata Noryatimah.EZY



Tiada ulasan: