Isnin, 15 Ogos 2016

Pas Selangor yakin Gagasan mampu raih sokongan

SINAR HARIAN


Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad


SHAH ALAM – Pas Selangor yakin penubuhan Gagasan Sejahtera (Gagasan) yang disertai Pas dan Ikatan mampu meraih sokongan dalam kalangan rakyat sebelum menjelang PRU akan datang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, perikatan tersebut akan berkembang dengan lebih banyak penyertaan daripada parti politik lain, selain turut disokong oleh NGO dan tokoh-tokoh berpengaruh dalam negara ini.

“Pas Selangor yakin aspirasi gagasan sejahtera dikongsi oleh rakyat. Pas Selangor mengalu-alukan penubuhan Gagasan yang dipimpin oleh Pas dan buat masa ini dianggotai oleh Pas dan Ikatan.

“Penubuhan Gagasan yang merupakan blok ketiga memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, dengan adanya Gagasan, maka lebih banyak bentuk penyelesaian kepada masalah negara akan dibentangkan kepada rakyat.

“Ia akan menyuburkan dan mematangkan lagi amalan demokrasi di negara ini.

“Kewujudan berbilang blok politik bukan satu perkara yang asing di negara-negara maju. Oleh yang demikian pemimpin-pemimpin politik perlu mengambil sikap yang terbuka dengan penubuhan Gagasan,” katanya lagi.


Tiada ulasan: