Selasa, 9 Ogos 2016

OSA: Mahkamah putuskan 1 Sept jika Rafizi perlu bela diri

Hafiz Yatim  


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 1 September untuk memutuskan sama Naib Presiden PKR Rafizi Ramli perlu membela diri atas tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pagi ini dengan memanggil dua orang pegawai polis termasuk pegawai penyiasat itu.

Supt R Rajagopal merupakan saksi terakhir dipanggil oleh pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar dan Zhafran Rahim Azfar.

Rafizi menghadapi dua pertuduhan di bawah OSA kerana mendedahkan dokumen rahsia yang kononnya dikaitkan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan 1MDB di lobi Parlimen pada 24 dan 28 Mac tahun ini.

Sebelum itu, DSP Aishah Be Abd Kadir, seorang pegawai forensik komputer mengesahkan bahawa satu unit pemprosesan pusat (CPU), komputer riba dan sebuah telefon bimbit Lenovo telah dirampas oleh pihak polis.

Saksi itu berkata, komputer riba dan telefon bimbit itu diambil dari rumah Rafizi di Bukit Antarabangsa, manakala CPU itu dirampas di pejabat PKR di Tropicana.

Ketika disoal oleh Shukor, Rajagopal berkata apa yang disiarkan di blog Rafizi berhubung dokumen LTAT adalah sama dengan kandungan halaman 98 laporan audit akhir mengenai 1MDB yang diklasifikasikan di bawah OSA.

Dilaporkan sebelum ini bahawa seorang pegawai dari jabatan audit bernama Nor Salwani Muhammad, telah membuat laporan polis berikutan penemuan dokumen di blog Rafizi.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau meminta Nor Salwani membuat laporan itu selepas mendapati kebocoran berkenaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memilih untuk mengklasifikasikan laporan audit akhir mengenai 1MDB di bawah OSA berikutan kebocoran laporan interim yang diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Tiada ulasan: