Ahad, 14 Ogos 2016

Najib perlu sertai Pas biayai kos saman Sarawak Report

MALAYSIA DATELINE
 
 
Najib dinamakan sebagai pemberi RM90 juta kepada PasNajib dinamakan sebagai pemberi RM90 juta kepada Pas


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya hanya mengharapkan Pas untuk membersihkan nama beliau tanpa menanggung kos bagi menyaman Sarawak Report (SR) yang menuduh beliau sebagai pemberi RM90 juta kepada Pas.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Pas yang mengambil ketetapan rasmi untuk mengambil tindakan saman terhadap Sarawak Report (SR) di England dan akan menggunakan khidmat peguam Queen Council atau dikenali Peguam Di Raja London.

"Ini adalah keputusan yang tepat berbanding dengan PM Najib yang dari awal menyatakan akan saman akhbar Wall Street Journal (WSJ) dan SR atas dakwaan RM2.6 bilion wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

"Begitu juga dakwaan pendedahan laporan ketua audit negara dalam isu 1MDB," katanya dalam satu sebaran media hari ini.

Beliau terkejut mengapa bukan Najib yang saman SR sedangkan tuduhan SR juga kepada Najib sebagai pemberi RM90 juta kepada Pas.

"Apakah yang membuat PM Najib menjadi bacul dan hilang jantan dengan SR.

"Dia ada duit, takkan Najib hanya mengharapkan Pas yang membersihkan namanya tanpa menanggung kos saman.

"Sepatutnya Najib juga turut saman SR bukan hanya Pas sahaja.

"Apakah SR terlebih jantan dari Najib?.

"Sebelum ini pun SR membuat pelbagai dakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Patinggi Taib Mahmud.

"Hingga kini tiada tindakan yang diambil oleh bekas Ketua Menteri Sarawak terhadap SR.

"Apakah Najib takut ke Mahkamah London untuk berdepan dengan SR yang boleh mengemukakan berbagai soalan pada Najib termasuk kes RM2.6 bilion dan 1MDB?" soalnya.

Pas katanya, hanya memberi tempoh dalam sebulan untuk menguruskan kes ini dengan menghubungi Peguam di England sehingga memfailkan notis saman terhadap SR di mahkamah England.

"Sedangkan Najib sudah lebih setahun dan entah berapa banyak hari Selasa berlalu tanpa peristiwa menyaman SR dan WSJ.

"Hang pi mana....hang pi mana....hang pi mana....nampaknya rakyat menanti PM Najib tunjukkan jantan seperti tunggu kucing tumbuh tanduk," katanya.

Rakyat katanya, menanti dengan penuh debar keputusan perbicaraan saman Pas terhadap SR yang sering dikatakan melaporkan berita palsu.

"Rakyat mengharap kali ini mahkamah di England boleh memastikan maklumat yang dilaporkan oleh SR benar atau fitnah.

"Walaupun sebelum ini WSJ dan SR yang mendedahkan isu RM2.6 bilion dalam akaun peribadi PM Najib dianggap fitnah tetapi tiada tindakan saman oleh Najib.

"Yang dibuat Najib hanya menyatakan itu adalah derma Tok Arab untuk parti Umno melalui pimpinan atasan Umno iaitu Najib," katanya.

Tiada ulasan: