Rabu, 3 Ogos 2016

Mangsa terjatuh sebelum digilis treler

Mangsa terjatuh sebelum digilis treler
Van yang dipandu mangsa remuk teruk dalam kejadian itu. Gambar kecil: Muhammad Nazreen


SUNGAI BESAR - Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila terjatuh daripada van Toyota Hiace yang dipandunya sebelum digilis dan diseret sebuah treler sejauh 50 meter dari arah sama selepas terlibat dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, mangsa, Muhammad Nazreen Khuzaini Ab Rahman, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adik angkatnya yang juga penumpang van itu, Amar Ma'aruf Abd Halim, 17, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian berlaku apabila van yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Isuzu.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan lori terbabit terbalik dan melintang di laluan lorong kiri, manakala sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang datang dari arah sama lori terbabit melanggar van itu yang berada di lorong kanan jalan berkenaan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa di dalam van tercampak keluar daripada kenderaan mereka sebelum sebuah treler dari laluan bertentangan hilang kawalan lalu menyeret Muhammad Nazreen,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa yang digilis dan diseret treler meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian badan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat cedera teruk pada organ anggota dalaman,” katanya.

Nor Azmi berkata, penumpang van yang terjatuh dikejarkan ke hospital sama sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Salmah Abu Bakar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Tiada ulasan: