Isnin, 15 Ogos 2016

Malaysia destinasi utama kereta curi Australia

 
Permintaan untuk kereta mewah yang murah sangat tinggi sehinggakan ada yang sanggup berkunjung ke Australia dengan wang tunai bagi membeli kereta tersebut secara sah.


car-theft


PETALING JAYA: Malaysia menjadi destinasi utama kereta mewah dan alat ganti kenderaan yang dicuri, melalui satu saluran jenayah yang berpusat di Victoria, menurut polis Australia.

Herald Sun melaporkan antara kereta mewah yang dicuri ialah Audi, BMW dan Mercedes-Benz, yang kemudian dijual pada harga serendah A$1,000-A$3,000 (RM3,000-RM9,000).

Laporan itu berkata penjenayah akan merobek kereta yang dicuri sebelum menanggalkan alat ganti seperti kotak gear dan enjin, yang kemudian dipasang bersama kereta lain untuk dieksport.

Antara pasarannya ialah Asia dan Timur Tengah, dengan Malaysia menjadi destinasi utama.

Ia berkata Malaysia menjadi tarikan kerana permintaan yang tinggi untuk kenderaan mewah.

Pengarah Majlis Kebangsaan Membanteras Kecurian Kenderaan, Ray Carroll memberitahu Harold Sun, 
Malaysia mempunyai permintaan sangat tinggi terhadap kenderaan yang dicuri dengan kaedah sedemikian, sehinggakan ada pembeli yang datang ke Melbourne dengan wang tunai bagi membeli kereta sedemikian secara sah.

Sumber itu turut berkata aktiviti tersebut turut membiayai jenayah seperti dadah dan senjata haram.

Penjenayah yang mengaut untung besar juga kerap melepaskan diri daripada pihak berkuasa atau tindakan undang-undang melalui rasuah.

Sebelum ini, pihak berkuasa Malaysia turut membongkar sindiket menjual kereta mewah yang dicuri.

Mac tahun ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pihaknya merampas 22 kereta klon bernilai lebih RM1 juta manakala 254 kenderaan klon disita sejak 2014.

JPJ berkata negara kerugian kira-kira RM30 juta memandangkan aktiviti ini mengelak bayaran cukai dan turut memalsukan dokumen kenderaan.

Kebanyakan kereta klon diambil dari Singapura yang melaksanakan dasar pelupusan kenderaan setiap lima tahun sekali.

Tiada ulasan: