Ahad, 7 Ogos 2016

Lantaklah pembangkang nak gelar Pemuda macai, balaci - Khairy

 
 


"Lantaklah jika parti pembangkang gelar kita macai atau balaci kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pemuda UMNO jangan peduli kerana kita bertanggungjawab mempertahankan parti dan Presiden,".

Itu kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya ketika merasmikan serentak Mesyuarat Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sepang malam tadi.

Tegasnya, Pemuda UMNO selaku tangan dan jentera kepada parti mestilah berani menyahut apa juga cabaran yang dibawa pihak pembangkang.

"Kita mesti memastikan mereka (pembangkang) nampak bahawa Presiden kita tidak keseorangan apabila dicaci dan difitnah.

"Apa yang diucapkan oleh Presiden parti kita, itulah yang kita bawa dan sebutkan di mana sahaja agar sampai kepada rakyat biarpun kita mendapat pelbagai gelaran," katanya.

Jelasnya, pembangkang tahu kepimpinan kerajaan telah dipilih secara demokratik tetapi masih lagi tidak berpuas hati dan tidak akan pernah puas hati.

"Apa pun, kita tidak boleh berasa selesa dengan apa yang telah kita capai hari ini lebih-lebih lagi setelah menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak, pilihan raya kecil Sunga Besar dan Kuala Kangsar.

"Parti-parti pembangkang kini diterajui oleh nama-nama besar seperti Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.

"Walaupun ada ahli UMNO yang mengatakan mereka adalah adalah parti serpihan, kita jangan sombong dan angkuh kerana mereka juga ada pengaruh sendiri," ujarnya.

Tegas Khairy, walaupun agenda utama mereka adalah untuk menjatuhkan Najib, Pemuda UMNO mesti sentiasa bersedia untuk menjadi benteng untuk menghalang serangan pembangkang.

"Memang UMNO masih lagi mendapat sokongan majoriti orang Melayu tetapi pada sama, kita mesti yakin dan bersedia untuk menjadi benteng penghalang pembangkang pada bila-bila masa diperlukan,’ katanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: