Ahad, 14 Ogos 2016

Ku Nan jangan nak masuk campur urusan ROS – Anina

THE MALAYSIAN TIMES


TENGKU_ADNAN_020715_TMINAZIRSUFARI_04


KUALA LUMPUR: Umno tidak perlu campur tangan urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung kelulusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Jawatankuasa Penaja Bersatu, Anina Saadudin.

Menurut Anina, tindakan Umno yang mahu nama Bersatu dipertimbang semula adalah tidak berasas.

“Bersatu adalah kata nama dan banyak lagi NGO (badan bukan kerajaan)lain yang guna kata nama itu, contohnya Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Jadi, dari sudut mana yang mereka kata ia mengelirukan?

“Umno tidak perlu campur tangan, biarlah ROS buat keputusan urus tadbir mereka dengan bebas,” katanya dipetik dari portal Sinar Harian hari ini.

Difahamkan, beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini yang mana beliau menggesa ROS mempertimbangkan semula nama parti Bersatu dalam permohonan parti politik kerana dianggap bakal mengelirukan rakyat.

Kata Tengku Adnan, beliau hairan bagaimana ROS boleh meluluskan nama Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini.

Bagi Anina pula, Tengku Adnan yang lebih mesra dengan nama Ku Nan itu seharusnya beri tumpuan kepada Umno dan hapuskan politik wang yang berleluasa di dalam parti itu, bukannya mencampuri urusan yang tiada kaitan dengannya.

Tegasnya lagi, Umno tidak perlu tergugat dengan Bersatu jika ia hanya parti nyamuk seperti yang dilabelkan pemimpin Umno sebelum ini.

“Mereka kata Bersatu parti nyamuk dan bakal terkubur tidak lama lagi. Mereka (Umno) perlu sedar, kami hanya serpihan mereka, jadi tak perlu rasa tergugat,” ujarnya.

Tiada ulasan: