Selasa, 23 Ogos 2016

Kes bunuh Amila: Abang ipar tiri didakwa esok

 
Suspek lelaki berumur 26 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.


Noor-Amila-Edrus-Norsyam-2


KUALA LUMPUR: Suspek yang membunuh Noor Amila Edrus Norsyam yang dijumpai mati di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada Khamis lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok atas dakwaan membunuh kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy berkata, suspek lelaki berumur 26 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

“Suspek yang merupakan warganegara Malaysia dan bekerja sebagai mekanik akan dituduh di Mahkamah Majistret esok,” katanya yang dipetik Bernama.

Beliau berkata, tahanan reman suspek pada Jumaat lalu akan berakhir esok.

Noor Amila Edrus dilaporkan hilang selepas selesai solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya di Jinjang Utara pada 11 Ogos lalu, sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, pada jam 12.30 tengah hari Khamis lalu.

Suspek dilaporkan adalah abang ipar tiri mangsa yang didakwa menyembunyikan Amila dalam bengkelnya dengan kaki dan tangan diikat serta mulutnya disumbat.

Tanpa sebarang makanan mahupun minuman, mangsa yang dalam kelaparan dan kesejukan itu diserang asma sebelum meninggal dunia.

Isteri suspek yang juga kakak tiri mangsa, Nazura dipetik China Press berkata, suaminya membunuh mangsa mungkin kerana dengki dan menyimpan dendam akibat tidak berpuas hati Amila terlalu dimanjakan sehingga menyebabkan dia dimaki ibu mertuanya.

Tiada ulasan: