Ahad, 7 Ogos 2016

Kerajaan tidak halang Pokemon Go

MALAYSIA GAZETTE
 



Kerajaan tidak akan menghalang permainan Pokemon Go selagi ia tidak melanggar undang-undang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tidak bersalah untuk bermain Pokemon Go selagi individu berkenaan bertanggungjawab ketika bermain dan tidak menceroboh kawasan terlarang.

Kata Nur Jazlan, kementeriannya setakat ini belum menerima sebarang aduan mengenai Pokemon Go, walaupun aplikasi itu mencetus kebimbangan di seluruh dunia apabila ada yang menceroboh kawasan bahaya atau tempat persendirian untuk menangkap Pokemon.

Menurutnya, walaupun Kementerian Dalam Negeri tidak mengeluarkan garis panduan mengenai Pokemon Go, tetapi pemain dinasihatkan jangan terlalu taksub sehingga melanggar undang-undang ketika menangkap Pokemon.

"Jika ia merupakan tempat atau kediaman persendirian, pemain tidak harus menceroboh demi menangkap Pokemon.

"Selagi ia tidak melanggar undang-undang, maka kerajaan tidak akan menghalang permainan ini," katanya kepada China Press.

Aplikasi Pokemon Go dilaporkan sudah boleh dimuat turun di Malaysia mulai Sabtu.

Beberapa tempat popular di ibu negara seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan pusat beli-belah Sungai Wang menjadi 'destinasi strategik' untuk menangkap makhluk Pokemon'.

Polis telah mengingatkan orang ramai supaya jangan menangkap Pokemon semasa memandu.

Sinchew Daily melaporkan di Kuantan, seorang pemuda menerima saman dengan kompaun RM300 kerana bermain Pokemon Go semasa memandu.

"Apabila polis trafik melihat aplikasi Pokemon Go pada telefon pintar, dia tahu kami sedang menangkap Pokemon.

"Polis itu tersenyum sebelum memberi amaran tidak mengguna telefon semasa memandu. Dia seterusnya mengeluarkan saman," kata pemandu itu.


Tiada ulasan: