Selasa, 9 Ogos 2016

KENAPA PEMIMPIN2 UMNO KIAN MERAPU DALAM MEMPERTAHANKAN NAJIB?

shahbudindotcom


Semakin masa berlalu, walaupun Najib Razak terus dipertahan dan disokong oleh para pemimpin UMNO, yang nyata hujah serta alasan dalam mempertahankan beliau juga kelihatan semakin merapu.

Sebut saja, daripada Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Nazri Aziz, Idris Haron, Aziz Kaprawi, Azalina Othman Said dan ramai yang lain, setiap kali mereka membuka mulut mempertahankan Najib, ia akhirnya lebih menjadi bahan ketawa dan perlecehan daripada rakyat.

Hujah, idea dan kata-kata yang dilontarkan seolah-olah bukan terzahir daripada mulut mereka yang bergelar pemimpin, yang seharusnya mesti memperlihatkan mereka lebih cerdik berbanding rakyat biasa, bukan menjadi lebih bodoh di mata umum.

Malah Khairy Jamaluddin yang terlihat pintar dan dikhabarkan bakal pemimpin masa depan juga seperti sanggup memperbodohkan diri sendiri apabila mengatakan "tak mengapa digelar macai, asalkan untuk mempertahankan Najib."
 
 
 
Jika diperhatikan, sejak timbulnya isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan saman Jabatan Kehakiman AS, kemandulan dan kemerapuan dalam memberi kenyataan di kalangan pemimpin yang menyokong Najib, jelas amat ketara.

Kenapa semua ini berlaku? Kenapa ramai pemimpin sanggup mengeluarkan idea-idea bodoh atau sedia kelihatan bodoh asalkan dapat dilihat menyokong Najib?

Kenapa semasa Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri misalnya, ketika kedua-dua pemimpin itu dikritik dan diserang, tidak kedapatan pula hujah-hujah dangkal dan merapu seperti sekarang daripada pemimpin bawahan yang mempertahankan mereka?

Begitu juga dengan ketua-ketua dalam parti pembangkang, mereka juga seringkali diserang dan dikritik, tetapi mengapa pemimpin yang mempertahankannya selalu tampil dengan hujah-hujah yang bernas, dapat diterima akal dan tidak bodoh di mata rakyat?

Apakah pemimpin-pemimpin yang melingkari Najib sekarang begitu rendah kualitinya berbanding era sebelumnya atau mereka yang berada di sebelah lagi satu?

Atau apakah ia disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan Najib begitu berat dan sukar untuk dipertahankan dan tindakan mereka mempertahankannya hanya semata-mata untuk menunjukkan masih ada yang setia bersama dengan Perdana Menteri?

Meskipun begitu, secara umumnya ada dua kelompok pemimpin yang mengelilingi Najib. Satu, mereka yang mulutnya lebih pantas bergerak daripada akalnya. Mereka inilah yang banyak merapu. Asal ada saja isu berkaitan Najib, terpacullah suara mereka. Yang penting bukan isi atau hujah yang dilontarkan, tapi kehadiran dalam memberikan sokongan.

Hujah selalu ditolak ke tepi. Sebab itu, dalam isu wang RM2,600 juta, macam-macam hujah lawak jenaka dapat kita dengar, sama ada sebelum atau selepas Najib mengakui wang tersebut benar-benar masuk ke akaun peribadinya.

Dalam kes saman Jabatan Kehakiman AS pula, sampai ada yang mengatakan ia kononnya percubaan campurtangan Amerika, Malaysia akan jadi Iraq kedua, mahu membunuh Melayu dan pelbagai hujah gila lainnya.
 
 
 
 
Kelompok kedua yang ada di keliling Najib juga ialah mereka yang diam dan hanya buat kerja sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC atau menjaga UMNO di bahagian masing-masing. 

Mustapha Mohamad dan Idris Jusoh adalah antara golongan kedua yang hampir-hampir tidak bersuara berkaitan 1MDB, derma RM2,600 juta atau saman Jabatan Kehakiman AS. Di kalangan timbalan menteri, Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian juga ramai kelompok kedua ini.

Ada yang berkata, mereka adalah pemimpin yang pandai "main selamat" tetapi kerana tidak bersuara, mereka adalah antara yang tidak kelihatan bodoh di mata rakyat.

Apakah yang main selamat dan tidak mahu kelihatan bodoh itu lebih berpaksikan kepada prestasi kerja sebagai tanda sokongan kepada Najib atau kerana mereka juga mendapati sukar untuk berbuat demikian, lalu berdiam diri adalah pilihan terbaik, manakala yang bising-bising itu kerana tiada apa-apa kelebihan yang boleh ditonjolkan untuk terus kekal dengan jawatan? 
 
 
 

Tiada ulasan: