Ahad, 14 Ogos 2016

“Kenapa Najib takut nak berdebat dengan Dr M?” – Zaid

INTAN NUR IDAYU


Zaid-Najib-Tunma


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengecam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tengah hari tadi mengatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah ‘kepala perompak’ juga.

Menurut Zaid, Najib bebas untuk berkata apa sahaja tentang Dr Mahathir tetapi semua orang akan mengingati Najib sebagai perdana menteri yang mempunyai berbilion ringgit di dalam akaun banknya.

“Kenapa Najib takut nak berdebat dengan Dr Mahathir? Saya ingatkan beliau seorang yang tenang dan penuh berkeyakinan dengan kes-kes yang melibatkannya.

“Tanpa debat, Najib boleh kata apa tentang Tun Mahathir tetapi dia (Najib) akan sentiasa diingati sebagai PM yang mempunyai berbilion ringgit di dalam akaun,” kata Zaid menerusi posting terbaru di akaun Twitternya hari ini.

Sebelum itu pula, Zaid turut memuat naik status melalui akaun Twitternya mengecam kenyataan ‘kepala perompak’ Najib ini dengan mengatakan Najib memberitahu perkara yang sama ini kepada Tun Musa Hitam dan juga pengikut-pengikutnya.

“Marilah kita (rakyat malaysia) lihat Najib patah-patahkan Tun Mahathir sehingga jadi cebisan,” ujarnya lagi.

Tengah hari tadi, Najib menerusi catitan terbaru di blognya menyatakan  semasa zaman Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dulu pun, pelbagai tomahan yang beliau terima tetapi negara tetap berkembang maju juga.

“Tiada bezanya apa yang dilalui oleh saya dan beliau. Saya tetap akan meneruskan kerja saya untuk membangunkan agama, bangsa dan negara tercinta ini walaupun perlu menempuhi segala tohmahan yang dilemparkan olehnya.

“Hal ini kerana rakyat memerlukan kepimpinan yang boleh memberi khidmat bakti sepanjang masa bukannya hanya bermatlamat menjatuhkan orang lain,” kata perdana menteri.


Tiada ulasan: