Ahad, 28 Ogos 2016

Jemaah haji berdepan kejadian ribut

ASLANI M


 


MAKKAH: Jemaah haji yang berjalan ke Masjidilharam petang semalam berdepan pengalaman menakutkan apabila berdepan kejadian ribut.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang memperlihatkan debu berterbangan di udara.

Keadaan itu seperti jerebu di Malaysia yang menyebabkan penglihatan agak terhad. Bangunan-bangunan tinggi sukar dilihat dari jarak jauh.

Begitu juga Masjidilharam sukar dilihat dari jarak jauh. Kedengaran juga bunyi zink yang digerak angin.

Pembungkus plastik pula berterbangan di udara setinggi bangunan tiga tingkat.

Agak mengejutkan apabila beberapa titisan hujan jatuh ke jalan raya. Ia dapat dirasai orang ramai yang berjalan ke masjid. Tiga titis air hujan juga jatuh ke badan penulis.

Ribut yang berlaku kira-kira 15 minit menyebabkan peniaga membawa masuk ke dalam kedai barangan yang digantung di luar bangunan.

Ribut yang melanda juga memedihkan mata mereka yang berada di luar bangunan.

Ekoran kejadian yang berlaku itu menyebabkan pengurusan Tabung Haji yang berpusat Hotel Land Premium di Jalan Al Hijrah melarang jemaah haji keluar ke masjid.

Malah ada jemaah haji yang sudah berada di jalan raya kembali semula ke maktab bagi mengelakkan mata menjadi pedih.

Biarpun berdepan kejadian ribut namun ramai jemaah haji tetap meneruskan perjalanan ke masjid. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: