Selasa, 2 Ogos 2016

Jangan panik, bekalan pasport Malaysia tidak terganggu

THE MALAYSIAN TIMES


malaysian-passport


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen sentiasa memastikan bekalan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) tidak terganggu walaupun ia sedang dalam proses transisi kepada versi baharu serta menghadapi sedikit masalah penghantaran.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan pasport sedia ada akan diproses pada hari sama.

Merujuk laporan media pada 29 Julai lepas, berhubung proses permohonan pasport mengambil masa enam bulan dan dikatakan berpunca daripada masalah kekurangan bekalan pasport oleh pihak pembekal, Mustafar berkata jabatan itu memandang serius laporan berkenaan yang telah mencetuskan situasi panik.

Susulan daripada laporan berkenaan, katanya, pejabat pasport seluruh negara dibanjiri orang ramai untuk membuat permohonan sama ada permohonan baharu atau memperbaharui pasport.

Mustafar menegaskan bahawa pihak kerajaan dan Jabatan Imigresen khususnya sentiasa melaksanakan usaha yang terbaik dalam memperkasakan perkhidmatan awam.

“Selama ini, rekod pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa adalah yang terbaik berbanding negara lain dan penyerahan pasport dalam satu jam selepas bayaran adalah yang pertama diperkenalkan di dunia,” katanya menambah negara maju mengambil masa dua minggu ke tiga bulan bagi mendapatkan pasport.

Mustafar dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada membuat permohonan pada saat akhir.

Ini kerana, katanya ia akan mengakibatkan masalah kepada pemohon sekiranya pasport mereka tidak dapat diproses pada hari yang sama akibat lambakan orang ramai di pejabat pasport di seluruh negara.

“Dinasihatkan orang ramai tidak panik di atas isu ini dan memberi ruang serta sokongan kepada kerajaan untuk menangani isu ini dengan berkesan,” katanya.— Bernama


Tiada ulasan: