Ahad, 7 Ogos 2016

JAKIM sokong Pokemon Go diharamkan

 
 
Othman Mustapha
Othman Mustapha


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan tidak membenarkan umat Islam melibatkan diri dengan aplikasi permainan Pokemon Go.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, larangan itu dibuat setelah jawatankuasa berkenaan mengambil kira pelbagai faktor termasuk permainan itu boleh membawa kemudaratan.

“Keputusan ini selari dengan pandangan hukum oleh negara-negara Islam lain yang telah membuktikan permainan Pokemon Go ini menjadi penyebab insiden yang membahayakan sehingga meragut nyawa.

“Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Othman menyeru umat Islam di negara ini menghindarkan diri dari permainan itu, selaras dengan kaedah syarak Saddu Al-Zara'I iaitu perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan serta kemudaratan diri.

Pada 1 Ogos lalu, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah berbincang dan memutuskan permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam berdasarkan nas dan juga faktor maslahah serta kemudaratan yang berlaku.

Justeru, jawatankuasa berkenaan berharap masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan tidak terlibat dalam aplikasi permainan itu. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: