Selasa, 23 Ogos 2016

Gaji besar belum tentu hidup selesa

Kuala Lumpur
 

"Wahhh...orang KL dah balik, boleh la kita mintak orang KL belanja...orang KL kan kaya-kaya..." - Itulah ungkapan yang biasa kita dengar bila mereka yang kerja dan tinggal di Kuala Lumpur ataupun Lembah Klang pulang ke kampung halaman. Label 'orang kaya', 'geng berduit' dan sebagainya sering digambarkan kepada golongan warga kota itu.

Namun, realitinya jauh berbeza. Masih ramai orang di kota yang 'kaya' tapi 'miskin'. Bergaji mencecah RM5,000 belum tentu boleh hidup mewah di kota raya. Bermacam-macam hutang dan bil perlu
dibereskan. Apatah lagi dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang melonjak sejak kebelakangan ini sehingga memaksa ada orang KL yang terpaksa ikat perut.

Sinar Harian mengupas realiti hidup warga kota dan memaparkan luahan rasa serta kesukaran mereka menguruskan kewangan demi kelangsungan hidup.

KISAH 1- Baki pendapatan hanya 'cukup-cukup makan'

Harga barangan yang melonjak naik selepas pelaksanaan GST menyebabkan rakyat termasuk golongan masih bujang rasa terhimpit menjalani rutin harian tinggal di kawasan bandar.

Peniaga makanan, Muhammad Aidil Zailani, 23 berkata, meskipun pendapatan diperoleh hampir RM3,000 sebulan, namun setelah ditolak perbelanjaan dan kos keperluan lain, baki yang tinggal hanya ‘cukup-cukup’ makan untuknya bertahan hingga ke bulan seterusnya.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, dia yang masih bujang perlu menanggung seorang adiknya yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, hanya dia seorang bekerja dan tidak boleh bergantung harap kepada ibu dan bapanya berikutan kedua-duanya perlu menanggung tiga lagi adik yang masih bersekolah.

“Ikutkan saya boleh dapat lebih kurang RM3,000 sebulan, tapi itu belum tolak ansuran pinjaman kereta, petrol, bil telefon, api dan air serta peruntukan wang saku adiknya.

“Kalau dikira-kira, kadang-kadang memang tak cukup wang yang diperoleh, jadi saya terpaksa membuat kerja sampingan berniaga gajet alat komunikasi dan sebagainya untuk cari wang lebih,” katanya.

Muhammad Aidil berkata, kos sara hidup menjadi tinggi apabila barangan keperluan dibeli naik mendadak sejak kerajaan melaksanakan GST.

Katanya, sebagai peniaga, dia juga perlu menanggung GST, sebagaimana yang ditanggung pengguna akhir.
Lebih membebankan dia yang tinggal di Puchong terpaksa menanggung kos tol sekiranya ada urusan di luar Puchong.

“Bila nak urus kewangan memang saya akan dahulukan mana yang perlu dulu, kalau terdesak sangat barulah pinjam daripada ahli keluarga.

“Cuma saya agak bernasib baik kerana tak perlu tanggung kos rumah sewa kerana tinggal bersama keluarga,” katanya.


Tiada ulasan: