Isnin, 15 Ogos 2016

Gagasan Sejahtera 'orang tengah' di antara PH, BN - Penganalisis

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik menyifatkan Gagasan Sejahtera – kerjasama politik di antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) – sebagai gabungan ‘orang tengah’.
 
Prof Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, pendekatan demikian memberi PAS ruang untuk mengambil peluang membentuk pakatan di antara dua gabungan besar politik di negara ini, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
 
"Kali ini dia (PAS) menawarkan blok ketiga. Jadi dia menjadi satu yang seolah-olah 'orang tengah'. Dia (PAS) mengambil pendekatan seperti itu atau mungkin mengambil peluang membentuk pakatan untuk kedua-dua gabungan yang sedia ada.
 
"Jika Barisan Nasional (BN) memerlukan mungkin tahaluf siyasi nanti, dia (PAS) akan mempertimbangkan situasi ini. sekiranya BN kalah tipis dia (PAS) mungkin bersama pakatan untuk membentuk gabungan mereka," katanya kepada Antarapos.
 
Menurutnya, PAS mengambil peluang kekalutan politik yang sedang melanda negara ini dengan menggunakan pendekatan 'Tahaluf Siyasi' untuk menjadi orang penting seperti mana yang berlaku di negeri Selangor.
 
"Sebagaimana mereka buat di negeri Selangor, mereka menggunakan Tahaluf Siyasi itu untuk menjadi orang penting kepada kekalutan politik. Gajah lawan gajah dia (PAS) ada di tengah itu untuk cari gajah mana yang kuat," tambahnya.
 
Semalam, PAS mengumumkan permuafakatannya dengan Ikatan dikenali sebagai 'Gagasan Sejahtera' (GAGASAN). 
 
Namun ia enggan mengulas sama ada ia akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). 
 
Begitupun, presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan pihaknya menolak politik yang diamalkan PH. 
 
Namun PAS masih lagi mengekalkan Tahaluf Siyasi bersama PKR di Selangor walaupun tidak berada di dalam PH.
 
Selain PKR, PH merangkumi musuh ketat PAS iaitu DAP dan Amanah.  
 
Parti baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad iatu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga dijangka menyertai PH jika pendaftarannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). 
 
Pengumuman oleh Hadi semalam, membayangkan kesukaran pembangkang memastikan saingan dua penjuru untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
PKR sebelum ini membayangkan harapan untuk bekerjasama dengan PAS dalam menghadapi PRU14.
 
Namun hasrat itu ditolak oleh DAP dan Amanah yang menuduh PAS sebagai mesra Umno.
 
Hadi menegaskan PAS tetap menolak kerjasama politik dengan Umno-BN kecuali bagi perkara-perkara bersabit kepentingan Islam. 


Tiada ulasan: