Ahad, 7 Ogos 2016

Finas, PFM bunuh industri filem, kata menteri

 
Pengarah Komunikasi BN itu berkata tidak ada tempat untuk pemprofilan bahasa dalam industri kreatif


rahman


PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyeru Lembaga Perfileman Negara (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menarik balik keputusan tentang 28 pencalonan di Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini.

Beliau berkata demikian menyentuh perbalahan sekitar pengasingan filem lantaran daripada amalan lazim badan itu untuk mengasingkan kategori filem terbaik mengikut bahasa pengantar masing-masing.

“Saya berharap Finas dan PFM tarik balik keputusan itu kerana pada saya ia membunuh industri yang mereka cuba selamatkan.

“Tidak ada tempat untuk pemprofilan bahasa dalam industri kreatif. Jangan gunakan untuk mengawal kreativiti mereka. Izinkan ia bercambah dan perhatikan hasilnya!” katanya di Twitter.

Perbalahan tercetus apabila filem seperti Ola Bola dan Jagat dicalonkan untuk filem terbaik, lakon layar terbaik dan pengarah terbaik dalam kategori filem bukan bahasa Melayu, dan bukan dalam kategori utama.

“Saya penyokong kuat industri kreatif termasuk mereka yang berbakat dan bekerja keras dalam industri wayang. Mereka wajah negara ini,” katanya.

Semalam, PFM menjelaskan perbezaan kategori untuk bahasa Melayu dan bahasa bukan Melayu bertujuan untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan.

PFM berkata 70% daripada dialog satu-satu filem itu perlulah dalam bahasa Melayu untuk ia dicalonkan dalam kategori filem terbaik.

Pelaon dan pembikin filem Afdlin Shauki mengumumkan akan memboikot festival tahun ini, manakala juru sinematografi Mohd Noor Kassim menarik balik pencalonannya untuk sinematografi terbaik.

Tiada ulasan: