Isnin, 15 Ogos 2016

FAM kesal dengan tuduhan rasuah TMJ

INTAN NUR IDAYU


TMJ-FAM2


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kesal dengan tuduhan yang dibuat oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa beliau mempunyai bukti salah laku dalam FAM. 

Menurut Timbalan presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, selama ini persatuan tersebut memberi maklum balas setiap tuduhan yang dilemparkan kepada mereka tetapi beliau kesal apabila tuduhan daripada Tunku Ismail yang lebih dikenali dengan nama TMJ itu diwar-warkan oleh media seolah-olah FAM tidak memberi kerjasama. 

“Kami adalah pemegang jawatan yang baru dilantik pada 2014. Kami berusaha untuk membersih dan meningkatkan nama FAM tapi kami tak diberi peluang. 

“Saya kalau boleh tak mahu besarkan lagi isu ini jadi lebih baik kita tutup cerita,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan hari ini selepas tamat mesyuarat bersama Exco FAM. 

Naib Presiden FAM, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang turut berada dalam sidang media tersebut juga menyatakan mesyuarat Exco yang diadakan hari ini tidak membincangkan mengenai tuduhan TMJ itu. 

Difahamkan, Abdul Mokhtar berkata demikian merujuk kepada tuduhan Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) mendakwa beliau mempunyai pemacu simpanan mudah alih (pendrive) mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah dalam FAM.

Pada masa yang sama juga, arena bola sepak negara pula dikejutkan dengan berita persaraan empat pemain JDT daripada menyarung jersi Harimau Malaya dan Tunku Ismail mendakwa ia berpunca daripada program dalam skuad kebangsaan dan sikap tidak bertanggungjawab FAM.

Empat pemain tersebut adalah Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula, beliau meminta bukti yang didakwa dipunyai oleh TMJ itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membolehkan siasatan dijalankan. 

Kata Khairy, pihak terbabit tidak boleh melindungi atau menyimpan bukti jenayah seperti itu. 

Difahamkan, ekoran daripada dakwaan TMJ dan persaraan empat pemain utama Harimau Malaya itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM walaupun kontrak beliau akan tamat pada tahun 2018 nanti. 

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, sebagai tanda sokongan kepada Presiden, persatuan tersebut telah bersetuju untuk mengawalkan tarikh pemilihan semula. 

“Sebagaimana yang semua tahu, presiden akan letak jawatan. Jadi, pemilihan yang sepatutnya diadakan pada 2018 diawalkan pada 2017. 

“Tarikh akan ditentukan kemudian,” kata Afandi 


Tiada ulasan: