Isnin, 15 Ogos 2016

DBKL akan menentukan kadar sewa bagi sistem sewa beli tanpa deposit

THE MALAYSIAN TIMES


pprlembahpantai


KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menentukan kadar sewa untuk sistem sewa beli tanpa deposit bagi kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dilaksanakan tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata DBKL akan mengadakan perbincangan terperinci dengan semua jabatan yang berkenaan bagi mengkaji kaedah sesuai dalam menentukan kadar sewa berpatutan mengikut jumlah bilik.

Melalui sistem ini, katanya, penyewa sedia ada akan perlu membayar kadar sewa yang lebih disertai dengan caj-caj lain.

“Bagaimanapun, kelebihan sistem ini adalah penghuni tidak perlu lagi berurusan dengan pihak bank untuk menguruskan dokumen perjanjian kerana semua proses akan melibatkan pembeli dan DBKL sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Jalur Gemilang peringat DBKL di sini hari ini.

Mhd Amin Nordin mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamaidi Ahad lepas PPR di ibu kota akan dilaksanakan secara sewa dan beli tanpa deposit bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Mhd Amin Nordin berkata, DBKL juga merancang untuk menyeragamkan setiap blok PPR mengikut kategori tertentu seperti blok penyewa dan blok sewa dan beli bagi menjadikannya lebih teratur serta sistematik.

Bagaimanapun, katanya, sikap penghuni yang tidak berdisiplin dalam membayar sewa hingga mengakibatkan jumlah tunggakan sehingga RM38 juta menjadi antara kekangan utama dalam melaksanakan sistem ini.

“Kami (DBKL) boleh uruskan sistem sewa beli ini sepenuhnya tapi kita cuma mahukan penyewa lebih berdisiplin dalam membayar sewa setiap bulan.

“Mengikut keputusan Kabinet, kalau gagal bayar sewa selama tiga bulan, kami boleh ambil semula rumah itu,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar warga kota termasuk pemilik premis dan bangunan kerajaan, kompleks membeli-belah, hotel dan kediaman mengibarkan bendera Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme dalam menyambut Hari Kebangsaan ke-59 pada 31 Ogos ini. – Bernama


Tiada ulasan: