Selasa, 9 Ogos 2016

'Dakwaan PAS dapat RM90 juta dari Najib fitnah terancang'

MALAYSIAKINI


PAS negeri-negeri terus menyatakan bantahan terhadap dakwaan RM90 juta disalurkan kepada pemimpin parti itu oleh Datuk Seri Najib Razak.

PAS Kedah pula berkata dakwaan berdasarkan “kecurigaan meluas” itu tidak berasaskan bukti atau fakta dan berniat jahat.

“Ini kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh sebuah media yang boleh disifatkan sebagai penyalahgunaan medium.

“Malah, ia nyata bertentangan dengan etika profesionalisme entiti media.

“Oleh itu, ia layak dilihat sebagai satu jenayah,” kata pesuruhjayanya Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi merujuk laporan Sarawak Report pada Sabtu.

Laman pembocor maklumat itu mendakwa Najib berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dengan RM90 juta mengalir secara meluas kepada pemimpin atasan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Selepas diancam saman, pengarangnya Clare Rewcastle Brown semalam menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Beliau membangkitkan pendekatan PAS yang tiba-tiba mesra kepada Umno yang diketuai presiden 'King Of Cash' (raja wang tunai) dan dikaitkan dengan amalan korup.

Sarawak Report yang berpangkalan di London itu memainkan peranan penting membocorkan dakwaan-dakwaan berkaitan kontroversi 1MDB dan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah membersihkan nama perdana menteri dan Najib sendiri menafikan menyalah guna wang untuk kepentingan peribadi.

Dalam kenyataannya, Ahmad berkata, mutakhir dilihat terdapat pihak-pihak tertentu menjadikan fitnah sebagai permainan, suka-suka, olok-olok serta gurauan.

“Ia berpotensi besar mengundang ancaman dan keburukan terhadap pihak yang difitnah, sedangkan pemfitnah bersikap sewenang-wenangnya,” katanya.

Ahmad Fakhruddin juga menyokong cadangan supaya PAS menyaman laman itu.



Tiada ulasan: