Khamis, 25 Ogos 2016

Cuba langgar polis, kereta suspek ditembak beberapa das

Cuba langgar polis, kereta suspek ditembak beberapa das
Kereta suspek sedang diperiksa polis selepas pemandunya melarikan diri.


GEORGETOWN - Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta selepas pemandunya bertindak cuba melanggar anggota polis yang menahannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, polis peronda mendapati sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang diletakkan ditepi jalan berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, apabila polis menghampiri kereta yang diletakkan di susur keluar Jalan Batu Uban ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu, seorang lelaki dilihat masuk ke kereta lalu memecut laju.

"Polis kemudiannya mengejar kereta berkenaan sehingga ke Jalan Perusahaan Jelutong berhampiran sebuah stesen minyak. Polis berjaya memintas dan menghalang kereta berkenaan namun suspek bertindak melanggar bahagian depan kereta MPV polis. Suspek melarikan diri dengan memecut laju keretanya ke arah lebuhraya namun disekat dua buah MPV lain yang datang untuk membantu.

"Anggota polis kemudiannya keluar dari MPV dan meluru ke arah suspek namun suspek bertindak memecut keretanya dan hampir melanggar dua anggota polis. Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek bagi mempertahankan diri namun suspek berjaya melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Mior Faridalathrash berkata, dengan bantuan MPV polis lain, kereta suspek berjaya dikesan di kawasan perumahan Serina Bay, Jelutong di sini.

"Polis berjaya menahan tiga penumpang kereta terbabit namun pemandunya berjaya melarikan diri. Mereka yang ditahan adalah penumpang kereta iaitu seorang lelaki berusia 18 tahun, seorang wanita berusia 34 tahun serta kanak-kanak berusia 12 tahun.  Mereka tidak mengalami kecederaan namun pemandu kereta yang melarikan itu mungkin cedera. Ia berdasarkan kesan darah di kerusi pemandu.

"Kesemua yang ditahan di bawa ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut.
Semakan rekod mendapati kereta tersebut dilaporkan hilang dipercayai dicuri di Jelutong. Dalam kejadian itu, tiga buah MPV polis rosak. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.

Mior Faridalathrash turut meminta mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan seorang lelaki yang cedera dan cuba mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, mohon salurkan maklumat tersebut ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.


Tiada ulasan: