Sabtu, 13 Ogos 2016

Blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera

Blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera
Sidang media di Ibu Pejabat Pas, di sini hari ini. –Foto Sinar Online


KUALA LUMPUR- Pas hari ini mengumumkan bahawa kerjasama politik parti itu, bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) kini akan dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Mengumumkan perkara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,perkara itu dipersetujui bersama antara Pas dan Ikatan dalam mesyuarat bersama pada dua Ogos lalu, di ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut.

"Persefahaman politik ini menjadi satu gagasan baharu kepada lanskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

"Justeru rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok Umno/BN: dan satu lagi jalur politik yang menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat Pas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hadi berkata, pendekatan Gagasan Sejahtera akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.

"Kita akan memperjuangkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok...menyokong kebaikan berasaskan kebenaran, bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata.

"Politik damai dan Diplomasi serta politik berasaskan penyelesaian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif Gagasan Sejahtera adalah membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat," katanya.

Oleh itu ujarnya, pendekatan budaya politik matang dan sejahtera ini memberi pilihan kepada rakyat yang telah bosan dengan budaya politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidakstabilan sosial dan ekonomi.

Terdahulu Pas dan Ikatan sebelum ini, menjalinkan kerjasama yang dikenali sebagai Blok Ketiga.


Tiada ulasan: