Isnin, 15 Ogos 2016

“Belum apa-apa lagi Najib telah melompat” – Muhyiddin

THE MALAYSIAN TIMES


Najib-UMNO-Muhyiddin


KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak sampai seminggu beliau mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menubuhkan parti BERSATU, serangan terhadap parti yang belum lagi ditubuhkan ini datang bertalu-talu daripada pemimpin UMNO.

“Terbaharu ialah daripada Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi, Najib mempersoalkan keupayaan BERSATU untuk membela nasib orang Melayu kerana hubungan parti ini dengan DAP.

Katanya, kerjasama BERSATU dengan DAP tidak akan memberi manfaat kepada orang Melayu.

“Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian dari Najib. Parti ini belum ada ahli dan tidak ada cawangan. Ia hanyalah parti serpihan umpama parti nyamuk.

“Belum apa-apa lagi Najib telah melompat. Orang putih kata “jump the gun”. Bagimana Najib boleh bercakap mengenai kerjasama antara sebuah parti yang belum ditubuhkan dengan DAP? Malah dia mengandaikan bahawa kerjasama itu tidak akan menguntungkan orang Melayu. Ini adalah satu kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan pra-matang.

“Namun, saya sedia maklum bahawa inilah taktik kotor yang akan digunakan oleh Najib dan konco-konconya untuk menakut-nakutkan orang Melayu. DAP bakal dijadikan “hantu” yang paling menggerunkan orang Melayu untuk mengalihkan perhatian orang Melayu daripada segala kesalahan dan kemungkaran Najib. Mereka akan terus berkata bahawa DAP adalah musuh utama orang Melayu sambil mengajak orang Melayu untuk terus mempertahankan Najib yang terpalit dengan skandal kewangan paling buruk dalam sejarah bangsa Melayu!

“Jika Najib ragu-ragu dengan perjuangan BERSATU untuk membela orang Melayu, saya cadangkan supaya beliau berhubung dengan pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk mendapatkan senaskhah Perlembagaan BERSATU yang telah kami serahkan semasa proses permohonan pendaftaran parti ini.

“Daripada 13 matlamat dan tujuan BERSATU, tiga yang teratas ialah menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni; menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu; dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak-hak yang sah untuk semua kaum,” katanya.

Muhyiddin berkata BERSATU juga komited untuk memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

“Ini adalah kelemahan utama pentadbiran Najib. Rasuah bermaharajalela, penyelewengan berleluasa dan pecah amanah menjadi amalan biasa.

“Inilah yang menyebabkan kerajaan pimpinan beliau tidak popular dan amat tidak disenangi oleh rakyat. Jadi, untuk menutup segala kerosakan yang telah dilakukan oleh beliau, maka Najib memainkan sentimen anti-DAP dengan harapan orang Melayu akan berasa takut untuk menyokong parti selain daripada UMNO, dan menerima kepimpinan beliau yang terpalit dengan skandal rasuah.

“Sudah-sudahlah. Saya yakin orang Melayu tidak mudah terpengaruh dengan tipu daya Najib dan konco-konconya. Saya tahu orang Melayu walaupun mereka diam, tetapi mereka bijaksana.

“Masakan mereka boleh menerima dengan hati terbuka sejumlah RM4 billion wang negara dileburkan oleh orang-orang yang rapat dengan Najib, termasuk anak tirinya sendiri, di Amerika Syarikat. Malah seorang yang dinamakan “Malaysian Official Number One” yang gambarannya tidak ubah seperti Najib terlibat secara langsung dalam kecurian wang negara berjumlah berbillion ringgit yang digunakan untuk membeli hartanah mewah dan membiayai gaya hidup berfoya-foya orang-orang tertentu, termasuk membayar hutang judi.

“Jumlah RM4 bilion ini hanyalah sebahagian daripada RM14 bilion (USD 3.5 bilion) wang 1MDB yang dilaporkan hilang oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

“Apa yang telah terjadi dengan wang sebanyak ini? Adakah ia diterima oleh orang Melayu? Jawapannya sama sekali tidak! Sebaliknya, ia telah dibelanjakan sesuka hati oleh Jho Low, Riza Aziz (anak tiri Najib) dan kawan-kawannya untuk membiayai gaya hidup mewah mereka, termasuk menaja pembikinan sebuah filem Hollywood. Malah menurut laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, sejumlah RM2.6 billion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib!,” katanya.

“Ini hanyalah secebis daripada wang 1MDB yang asalnya berjumlah RM42 bilion yang dipinjam daripada pelbagai institusi kewangan dalam dan luar negara. Jumlah tanggungan 1MDB kini meningkat kepada lebih RM50 bilion. Sebahagian besar wang ini tidak dapat dikesan dan kemungkinan juga telah lesap.

Adakah orang Melayu akan melupakan semua ini dan memaafkan Najib dan konco-konconya? Tentu sekali tidak. Amat malang jika Najib berfikiran begitu. Beliau sebenarnya memandang rendah nilai, budaya dan maruah orang Melayu.

KALAU BERANI, SAHUT CABARAN DR M

Muhyiddin turut mencabar Najib supaya menyahut cabaran Tun Dr Mahathir untuk berdebat, jika perdana menteri itu ingin membersihkan namanya.

“Tidak perlulah Najib cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak lain. Usah berselindung dan berdolak dalih lagi.

“Saya yakin orang Melayu yang tinggi adab dan tatasusilanya akan bangkit bersatu secara terhormat untuk menentang kemungkaran Najib dan pentadbirannya yang telah merosakkan maruah bangsa dan negara.

Saya percaya masa untuk mengembalikan maruah bangsa dan negara yang kian tercalar telah tiba. Masanya ialah sekarang!

“Bersatulah demi menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: