Zulaikha Zulkifli
LIHAT VIDEO DI SINI
Naib Ketua Umno, Khairul Azwan Harun menganggap, laporan polis yang
dibuat ke atas tiga 'Tan Sri' sebelum ini sebagai satu kejayaan
pegerakan Pemuda Umno.
Menurutnya, beliau berjaya menghalang 'cubaan' untuk menggulingkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan membuat laporan polis pada
27 Julai lalu.
“Yang penting sekarang ini kita berjaya patahkan satu cubaan, menghalang satu cubaan.
“Saya dah buat laporan polis supaya polis boleh menyiasat dan dengan
harapan perkara tak diingini tidak berlaku. Dan alhamdulillah, tidak
berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita, Khairul enggan menjelaskan
secara terperinci berhubung 'kejayaan' dan 'cubaan menjatuhkan Najib'
seperti yang didakwanya.
Malah, pada sidang media selama kira-kira 25 minit hari ini, suasana
tegang apabila Khairul hanya menjawab "rujuk laporan polis"
berulang-kali ketika pelbagai soalan diajukan pemberita berhubung
laporannya serta tindakan pihak polis menutup kertas siasatan.
"Rujuk laporan polis saya. Saya buat laporan berdasarkan keyakinan
dan kepercayaan saya," katanya pada sidang media di Kelana Jaya.
Ditanya sama ada mana-mana pihak yang mengarahkannya untuk membuat
laporan polis sebelum ini serta dirinya dijadikan 'kambing hitam',
Khairul secara ringkas berkata: "tidak".
Khairul pada laporan polis bertarikh 26 Julai lalu mendakwa bekas
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed
dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dipercayai terbabit
dalam satu konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia yang sah.
Katanya, ketiga-tiga mereka disyaki memberi maklumat sulit kepada
agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di
Amerika Syarikat, tanpa kebenaran.
Khairul juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka juga memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan