Isnin, 15 Ogos 2016

Azmin fail semakan kehakiman terhadap status sulit audit 1MDB

THE MALAYSIA TIMES


Azmin-1MDB


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ketua audit negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden PKR memfailkan saman itu menerusi Tetuan Tommy Thomas di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau selaku pemohon menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonannya, beliau menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu perdana menteri untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut suatu deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden  kedua (Amrin) adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, OSA dan/atau Akta Audit 1957.

Selain itu, Azmin juga menuntut suatu perintah mandamus  bagi memaksa semua responden , pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana dibuat dalam pelanggaran Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, keengganan responden untuk mengklasifikasikan semula laporan berkenaan adalah tidak munasabah.

Sementara itu Azmin dalam sidang media yang diadakan di lobi mahkamah, berharap mahkamah akan meneliti permohonan yang difailkan, dan membenarkan dokumen-dokumen itu diklasifikasikan semula untuk kepentingan rakyat.

Tiada ulasan: