Selasa, 23 Ogos 2016

Anak orang kaya mengaji luar negara selepas Tingkatan 3, kata menteri

 
Rekod Kementerian Pendidikan mendapati hanya 86% pelajar menamatkan pengajian sehingga Tingkatan 3 meneruskan pengajian ke sekolah menengah atas


mahdzir-1


KUALA LUMPUR: Pelajar daripada keluarga kaya meninggalkan Malaysia untuk belajar di luar negara sebaik menamatkan peperiksaan Tingkatan 3.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata hanya 86% pelajar yang melengkapkan pengajian hingga Tingkatan 3 meneruskan pengajian ke sekolah menengah atas.

“Kita temui masalah di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 sahaja, apabila pelajar kaya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di luar negara,” katanya kepada pemberita seusai simposium Pendidikan 2030 di Hotel Istana hari ini.

Beberapa pelajar berhenti sekolah sama sekali.

Mahdzir tidak menjelaskan mengapa golongan kaya memilih untuk belajar di luar negara.

Menteri itu bagaimanapun sukacita 98% anak yang layak bersekolah mendaftar masuk sekolah rendah, lebih tinggi daripada 94.4% yang didaftarkan pada 2013.

Menurut Mahdzir, peningkatan itu lantaran lebih ramai murid daripada keluarga berpendapatan rendah bersekolah.

Sebelum ini, katanya, ramai ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah memilih untuk tidak menyekolahkan anak mereka.

Di kawasan lain, seperti keluarga yang mendiami sempadan Sarawak-Kalimantan, sukar untuk hadir ke kelas.

“Masih ada kumpulan kecil sekitar 10 isi rumah yang menetap di kawasan sangat pedalaman. Untuk ke sekolah mengambil masa dua hingga tiga hari.

Kementerian mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah itu dengan membina asrama untuk murid belajar dan menetap.

Terdapat 93 sekolah rendah dan menengah dan 58 asrama untuk anak Orang Asal di Malaysia Barat dan Timur.

 

Tiada ulasan: