Selasa, 23 Ogos 2016

Amanah tidak anggap Bersatu parti perkauman

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Khalid Samad Khalid Samad Parti Amanah Negara (Amanah) memandang positif pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun ia mengkhususkan keahlian kepada orang Melayu dan Bumiputera sahaja.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, walaupun Bersatu berasaskan kaum namun ia tidak semestinya bersifat perkauman.

“Secara rasmi Parti Amanah Negara menyatakan sokongan terhadap pembentukan parti Bersatu dan mengalu-alukan keterlibatan mereka dalam arena politik negara.

“Walaupun ia merupakan parti yang mengkhaskan keahliannya kepada orang Melayu dan golongan Bumiputera tetapi kita memandang positif kerana tidak semestinya parti sedemikian rupa merupakan parti yang bersifat rasis kerana rasisme ditakrif sebagai perasaan anti sesuatu kaum.

“Untuk mencintai kaum sendiri atau kaum lain itu bukan rasis. Rasis ini bila kita bersatu untuk melawan kaum lain,” kata beliau.

Khalid juga berharap Bersatu yang dipimpin bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu membawa orang Melayu keluar daripada politik perkauman yang dibawa Umno.

“Mungkin ia satu fasa yang perlu dilalui oleh minda politik Melayu. Ada parti yang berasaskan kaum tetapi tidak bersifat perkauman. Ini kita harap Muhyidin dan Tun Mahathir sebagai penaja utama akan membawa parti Bersatu bebas daripada perkauman,” katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Keahlian Bersatu terbuka kepada semua yang berstatus pribumi, Melayu dan bumiputera termasuk orang asli di Sabah dan Sarawak.

Bangsa lain yang bukan bumiputera boleh menjadi ahli bersekutu dan mempunyai hak sama kecuali untuk bertanding mana-mana jawatankuasa.

Bersatu sedang menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Tiada ulasan: