Jumaat, 5 Ogos 2016

Aktivis fail saman bebas laporan Ketua Audit Negara dari OSA

 
 
Muhammad Zahid Md Arip (tengah) hadir memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia memohon perintah mahkamah supaya laporan Ketua Audit Negara dibebaskan daripada Akta Rahsia Rasmi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 Ogos 2016.
Muhammad Zahid Md Arip (tengah) hadir memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia memohon perintah mahkamah supaya laporan Ketua Audit Negara dibebaskan daripada Akta Rahsia Rasmi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,
 
 
Bekas Mursyidul Am TIBAI, Muhammad Zahid Md. Arip petang ini, memfailkan saman terhadap kerajaan memohon perintah mahkamah agar membebaskan laporan Ketua Audit Negara dari diletakkan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
 
Ketika ditemui di mahkamah Jalan Duta, beliau menjelaskan, laporan Ketua Audit Negara berhubung kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah hak umum.
 
Oleh itu, katanya, keputusan siasatan itu harus dijelaskan kepada rakyat kerana kes 1MDB telah diletakkan sebagai kepentingan umum, bukan menjadi rahsia kerajaan.
 
"Saya berharap mahkamah dapat memulakan prosiding ini kerana kita menganggap laporan Ketua Audit Negara tidak wajar dan tidak ada sebab untuk diletakkan bawah OSA," katanya.
 
Pada Mac lalu, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin dilaporkan berkata, laporan akhir terhadap pengauditan syarikat 1MDB diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah OSA 1972.
 
Perkara itu turut dimaklumkan kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang ketika membentangkan laporan akhir itu di Parlimen pada 4 Mac lalu.
 
PAC dikatakan akur dan memahami keperluan serta tindakan yang diambil Jabatan Audit Negara bagi mengklasifikasikan Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB sebagai dokumen rahsia rasmi.
 
Ketua Audit Negara juga dikatakan mempunyai kuasa perundahan untuk berbuat demikian bagi menjana kredibiliti dan integriti jabatan itu.
 
Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata, tindakan meletakkan dokumen berkenaan di bawah OSA sebagai pelik dan meragukan berikutan sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan rakyat akan diberitahu hasil siasatan itu.
 
Bagaimanapun, jelas beliau, apabila PAC mengumumkan siasatan sudah selesai dan keputusan sudah diperolehi, tiba-tiba kerajaan meletakkan dokumen berkenaan bawah OSA.
 
"Sehingga sekarang rakyat tidak tahu apa berlaku dalam siasatan 1MDB dan sekadar mendengar jawapan daripada sebelah kerajaan pihak yang cuba menyembunyikan jawapan sebenar," katanya. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: