Rabu, 13 Julai 2016

Tiga calon pengganti Guan Eng…

Agenda Daily


dap-siewfook-tony-chontonh


Walaupun Lim Guan Eng berkeras mahu kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP selepas didakwa di mahkamah dengan tuduhan rasuah… akhbar-akhbar Cina bagaimanapun buat spekulasi beliau akan digantikan.

Terutamanya kedudukan beliau sebagai Setiausaha Agung DAP kerana sudah melepasi tiga penggal dan walaupun kata putus samada pemilihan DAP diteruskan atau ditangguhkan dibuat September ini namun jika Guan Eng mahu digantikan ini tiga calon berpotensi.

Nama pertama adalah Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dilihat paling berpotensi mengambil alih jawatan Setiausaha Agung DAP yang kini dipegang Lim Guan Eng.

Walaupun begitu, Siew Fook dikatakan bukan calon pilihan utama buat Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Selain beliau, dua calon pengganti Guan Eng ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Tony kini merupakan Setiausaha Publisiti DAP sementara Chin Tong memimpin Biro Pendidikan Politik DAP.

Seorang pemimpin parti yang dihubungi Oriental Daily bagaimanapun berpendapat Siew Fook paling berpeluang menggantikan Guan Eng kerana tidak banyak pertikaian mengenainya selain mudah diterima ‘aliran’ dari negeri yang berlainan.

Berlainan dengan Chin Tong yang boleh menjadi strategis yang baik, Siew Fook pula mempunyai kekuatan sokongan akar-umbi.

“Jika ahli tidak menyokong (calon pilihan) Guan Eng secara membuta-tuli, maka Siew Fook merupakan calon yang lebih senang diterima sebagai setiausaha agung,” kata pemimpin yang namanya tidak disiarkan itu.

Menurut pemimpin itu, Chin Tong bagaimanapun lebih digemari Guan Eng sebagai penggantinya diikuti Tony dan seterusnya barulah Siew Fook.

Jelasnya, Chin Tong lebih mudah dikawal dan keadaan itu bermakna Guan Eng masih boleh mempengaruhinya walaupun setelah melepaskan jawatan setiausaha agung.

Katanya lagi, Tony pula mempunyai personaliti dan pandangan tersendiri yakni tidak semestinya senada dengan Guan Eng.

Ujarnya lagi, Siew Fook dilihat sebagai murid bekas setiausaha agung, Kerk Kim Hock malahan personalitinya mirip Kim Hock yang dapat menerima semua pihak.

“Siew Fook mungkin tidak cukup baik dari segi memberi kata putus, tetapi beliau masih boleh diterima aliran yang berbeza dalam parti,” katanya.

Selain itu, Siew Fook merupakan pemimpin yang diterima Pakatan Harapan, satu lagi faktor yang dikhabarkan membimbangkan Guan Eng.

Jika pemilihan DAP tidak ditundakan 18 bulan seperti yang dibenarkan perlembagaan parti itu, maka Guan Eng perlu melepaskan jawatan setiausaha agung pada tahun ini selepas menjawatnya selama tiga penggal.



Tiada ulasan: