Ahad, 17 Julai 2016

Tiga bulan telah berlalu, apa khabar siasatan laporan PAC, soal Kit Siang

lim kit siang
Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP mempersoal sikap terkial-kial Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam mengesahkan kesahihan maklumat yang dipercayai sebagai laporan Ketua Audit Negara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didedahkan Sarawak Report.

Khalid seperti yang dilaporkan media pada Sabtu lalu berjanji akan merujuk Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambirin Buang bagi mengesahkan kesahihan laporan berkenaan yang kini dikategorikan sebagai rahsia kerajaan.

Sedangkan, pada Mac lalu, Khalid telah mengumumkan bahawa siasatan secara terperinci akan dilaksanakan oleh kumpulan penyiasat yang diketuai oleh beliau sendiri bagi meneliti dan menyiasat laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1MDB.

Persoalan ini dilontarkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memandangkan laporan PAC bergantung penuh kepada laporan yang diserahkan Ketua Audit Negara.

“Justeru, bagaimana harus Ketua Polis Negara menjelaskan kegagalan pihaknya untuk mempunyai salinan laporan Ketua Audit berhubung 1MDB setelah lebih dari tiga bulan siasatan dilakukan terhadap laporan PAC?”

“Seminggu telah berlalu, sudahkah Khalid mengesahkan daripada Ambrin sama ada laporan AG berkaitan 1MDB berkenaan adalah laporan yang sahih, lebih-lebih lagi laporan AG berkenaan telah pun di disiarkan oleh Sarawak Report di dalam laman webnya.

“Mengapa polis tidak mempunyai salinan laporan AG berkaitan 1MDB untuk membolehkan polis sendiri mengesahkan kesahihan laporan yang didedahkan Sarawak Report berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sarawak Report mendedahkan laporan penuh apa yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit berhubung syarikat sarat hutang milik penuh Kementerian Kewangan tersebut.

Bagaimanapun, laporan itu tidak dapat didedahkan kerana diklasifikasikan rahsia mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Dalam pada itu, Kit Siang turut berteka-teki dengan keengganan polis mengambil sebarang tindakan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berikutan tuduhan “penyelewengan, pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah” yang dipercayai akan mengheret sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ia dihapuskan, Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB menetapkan bahawa Perdana Menteri merupakan pihak terpenting dalam meluluskan segala dokumen berkaitan 1MDB.
Justeru, segala kegagalan 1MDB tertakluk kepada kuasa yang dimilik Najib, walaupun beliau menafikannya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: