Jumaat, 22 Julai 2016

Tiada asas NGO memfailkan semakan kehakiman mengenai TPPA

BERNAMA
 
 
Mahkamah Tinggi menolak permohonan ABIM, Unggas Malaysia dan TERAS atas alasan bahawa oleh kerana kerajaan belum menandatangani TPPA, maka ia tidak boleh membuat keputusan mengenainya.Mahkamah Tinggi menolak permohonan ABIM, Unggas Malaysia dan TERAS atas alasan bahawa oleh kerana kerajaan belum menandatangani TPPA, maka ia tidak boleh membuat keputusan mengenainya.


Mahkamah Rayuan  diberitahu bahawa penandatanganan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan keputusan inheren eksekutif berkaitan hubungan perdagangan dengan negara lain.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah bahawa tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan tidak mempunyai asas untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan kerajaan menandatangani TPPA.

Katanya keputusan sama ada hendak menandatangani TPPA atau tidak bukan merupakan isu yang wajar dicampur tangan oleh mahkamah dan tindakan pertubuhan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman adalah menyalahgunakan proses mahkamah.

Shamsul berkata permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas Malaysia) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (TERAS) juga hanya bersifat akademik kerana TPPA ditandatangani pada 4 Feb tahun ini.

Beliau juga berkata semakan kehakiman juga bersifat pramatang kerana TPPA tidak ditandatangani ketika semakan kehakiman itu difailkan.

Beliau seterusnya berhujah bahawa NGO berkenaan tidak membuktikan mereka mempunyai locus standi untuk memfailkan semakan kehakiman itu kerana mereka tidak menunjukkan dari segi mana pemeteraian perjanjian dengan 12 negara lain itu memberi kesan buruk terhadap mereka.

Shamsul, yang mewakili responden -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kerajaan Malaysia -- mengemukakan hujahnya dalam rayuan yang dikemukakan tiga NGO berkenaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak memberi kebenaran kepada tiga pertubuhan itu untuk memohon semakan kehakiman dalam usaha mereka menghalang kerajaan menandatangani TPPA.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan ABIM, Unggas Malaysia dan TERAS atas alasan bahawa oleh kerana kerajaan belum menandatangani TPPA, maka ia tidak boleh membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili ketiga-tiga NGO berkenaan, berhujah bahawa mahkamah boleh mendengar permohonan semakan kehakiman tentang keputusan eksekutif dan perkara berkaitan dasar sekiranya isu berkenaan menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, anak guamnya mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan itu kerana mereka adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi fokus terhadap hak orang Melayu dan Islam, iaitu isu yang boleh mempunyai percanggahan dengan TPPA.

Kata beliau: TPPA menuntut bahawa apa sahaja keutamaan yang kita beri kepada diri kita sendiri, kita juga perlu memberinya kepada pelabur asing kita dan sekiranya kita tidak memberi hak itu kepada rakyat kita yang lain (bukan-bumiputera) tetapi memberinya kepada pelabur, ia melanggar hak bumiputera."

Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 26 Julai sebagai tarikh untuk memberi keputusan mahkamah berhubung rayuan itu. Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.

Rohana berkata mereka memerlukan masa untuk berbincang tentang penghujahan.

Tiada ulasan: