Jumaat, 8 Julai 2016

Tangkap, bebas, tangkap, kali keenam buat Sanjeevan

Adrian Wong


Tangkap, bebas, tangkap semula - Pengerusi Badan Pemantau Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan - terperangkap dalam kitaran ini sejak dua minggu lalu.

Seperti apa yang berlaku semalam, tidak lama selepas Majistret Seremban menolak permohonan reman ke atas Sanjeevan, polis Kajang menunggu untuk menahannya semula sekali lagi pagi ini, untuk kali keenam.

Semalam, Sanjeevan ditahan semula selepas polis gagal mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya daripada Majistret Seremban.

"Kamu lihat, laporan polis ini (yang membawa kepada penangkapanya) hanya dibuat semalam, bertujuan untuk memastikan bahawa beliau akan ditangkap semula.

"Mereka sedang membawanya ke Kajang. Jika majistret menolak reman esok, pasti akan menjadi tangkapan semula.

"Semua ini dirancang," kata peguam Sanjeevan, Preakas Sampunathan kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Pada 23 Jun lalu, polis menahan Sanjeevan di plaza tol Nilai, berikutan aduan bahawa beliau memeras ugut RM25,000 daripada seorang pengusaha judi haram. Pemandunya, seorang warga India, berusia 26 tahun, turut ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 385 dan 506 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan ugutan jenayah.

Sebelum ini, Sanjeevan lantang menentang rasuah dalam pasukan polis, dan pernah ditembak hingga parah pada tahun 2013.

Tiada ulasan: