Khamis, 21 Julai 2016

Syarikat anak tiri Najib nafi ambil RM256 juta 1MDB

ANTARAPOS.COM


Post Pic



PETALING JAYA: Sebuah syarikat penerbitan filem yang diketuai anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan ia menerima dana AS$64 juta (RM256 juta) secara tidak sah daripada 1MDB bagi membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures, Riza Aziz, merupakan antara orang dinamakan dalam permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat semalam dalam usaha menyita aset berkait 1MDB berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion), kes terbesar di AS membabitkan korupsi luar negara.

Red Granite berkata syarikat itu tidak pernah secara sedar menggunakan sebarang sumber kewangan yang tidak sah.

“Setahu Red Granite, tidak ada satu pun dana yang diterimanya empat tahun lalu merupakan sumber tidak sah dan tindakan undang-undang (Jabatan Kehakiman) hari ini juga tidak mendakwa Red Granite mengetahui sebaliknya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan yakin Riza akan didapati tidak bersalah.

Riza sebelum ini menafikan mengambil dana 1MDB.

“Tidak ada dana Malaysia,” katanya kepada New York Times pada 2014.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman mendakwa Red Granite menerima AS$64 (RM256 juta) yang berasal dari 1MDB.

Jabatan Kehakiman juga mahu merampas keuntungan filem “The Wolf of Wall Street”.

Filem itu yang menerima lima pencalonan Oscar, melaporkan keuntungan AS$400 juta (RM1.6 bilion).

Tiada ulasan: