Selasa, 26 Julai 2016

SOSMA perlu bendung pengganas walaupun dikritik - PM

 



Najib Razak
Najib Razak







Tidak ada jaminan keganasan tidak akan berlaku di Malaysia tetapi kerajaan tidak akan teragak-agak bertindak tegas membendungnya berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan akan berusaha apa yang sepatutnya bagi melindungi penduduk di negara ini.

"Malangnya, tidak ada kawalan boleh memastikan tindakan keganasan tidak berlaku di tanah Malaysia dan serangan di Kelab Movida di Puchong bulan lalu, Daesh telah melakukan serangan pertama dalam negara.

"Walaupun lapan cedera tetapi kita bersyukur kerana tidak ada yang terbunuh. Saya boleh beri jaminan yang kerajaan akan meneruskan segala usaha yang perlu dan pasukan keselamatan sentiasa bersedia," ujarnya semasa merasmikan Persidangan Polis ASEAN Kali Ke-36 di sini pagi tadi.

Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Terdahulu, Najib memberitahu, usaha kerajaan mewujudkan pelbagai akta keselamatan termasuk SOSMA bagi membendung pengganas telah dikritik namun pihaknya tidak sesekali berkompromi keselamatan penduduknya.

"Undang-undang ini diperlukan dan banyak negara lain kini melakukan perkara yang sama," ujarnya lagi.
Peraturan undang-undang itu membantu pihak berkuasa memantau kemungkinan berlaku aktiviti pengganas dan pengikut Daesh, kata Najib.

Beliau dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertugas selama ini memastikan Malaysia dalam keadaan aman.

Justeru, beliau berkata, pada persidangan ASEANPOL kali ini sudah sampai masa negara-negara terlibat bersatu buat pertama kali memerangi keganasan yang semakin menular.

Di Malaysia, kata Najib, kerajaan telah memperkenalkan Regional Digital Counter Messaging Communication Centre yang akan diselaraskan dengan negara-negara ASEAN.

Perdana Menteri juga memberitahu, usaha memerangi keganasan juga perlu dilakukan melalui digital media terutama bagi membersihkan nama Islam yang dikaitkan dengan keganasan selama ini.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: