Rabu, 13 Julai 2016

SKMM siasat komen pembaca Malaysiakini

MALAYSIAKINI


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat aduan yang difailkan terhadap komen oleh pembaca yang muncul dalam laporan berita Malaysiakini pada 5 Julai.

Menurut pengadu, komen mengenai Islam itu adalah "melampau dan menjijikkan' berkaitan dengan artikel bertajuk "Reports: Terrorists in Dhaka followed Zakir Naik, IS recruiters".

Artikel itu berdasarkan laporan oleh akhbar bahasa Inggeris Bangladesh, The Daily bahawa Rohan Imtiaz, salah seorang daripada mereka yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Dhaka di mana 20 orang terbunuh, mengikuti pendakwah kontroversi itu di media sosial.

Seorang lagi pengganas dalam serangan itu, Nibras Islam, dilaporkan mengikuti suspek perekrut IS, Anjem Choudary dan Shami Saksi di Twitter pada 2014.

Zakir menafikan beliau menggalakkan atau menyokong keganasan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesahkan satu laporan telah diterima terhadap komen pembaca itu.

Beliau juga mengingatkan pembaca portal berita dan pengguna media sosial untuk menghormati sensitiviti agama dan mengingatkan mereka mengenai batas kesopanan ketika menyuarakan pandangan mereka.

"Perdebatan agama dan kaum perlu ditangani dengan berhati-hati; ia tidak perlu mewujudkan ketegangan. Kadangkala perbahasan terlalu peribadi dan tidak melambangkan kematangan.

"Ia adalah baik untuk tidak bersetuju dengan sesuatu, tetapi perbezaan perlu dihormati.

"Kita boleh jadi kritikal tetapi kita mesti bersama-sama memerangi ekstremisme. Mengetepikan perbezaan politik, kaum dan agama," katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Editor Malaysiakini Steven Gan berkata portal berita itu sering mengingatkan pembaca untuk berhati-hati dengan komen mereka.

"Kami menasihatkan pembaca supaya tidak menggunakan kata-kata kotor atau membuat kenyataan menghina. Kami melakukan yang terbaik untuk memantau komen-komen ini, memadamkan yang menyakitkan hati. Kami juga menyekat mereka yang enggan mematuhi amaran kami,"katanya.

Gan juga menekankan kepentingan berbahas secara baik, terutama dalam hal-hal melibatkan kaum dan agama.

"Ada perbezaan pendapat di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, tetapi mari kita bersetuju untuk tidak bersetuju dengan sopan," katanya.

Kumpulan media bantah

Sementara itu Institut Wartawan Malaysia (IOJ) membantah cadangan Salleh untuk mengambil tindakan terhadap Malaysiakini.

Ini berikutan kenyataan Salleh bahawa beliau akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap laporan Malaysiakini mengenai pendakwah Islam kontroversi itu.

"Kecenderungan semakin meningkat daripada pihak berkuasa sejak kebelakangan ini untuk mengetatkan kawalan ke atas wartawan dan organisasi media atas alasan memprovokasi sensitiviti mengenai pelbagai isu," kata institut itu dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, meskipun tidak bersetuju dengan laporan wartawan dan organisasi sesebuah media, ia tidak mewajarkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang atau jenayah terhadap mereka.

Selain itu, kumpulan Gerakan Media Marah (Geramm) turut menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Salleh berhubung tindakan yang mungkin diambil terhadap Malaysiakini.

Geramm dalam satu kenyataan berkata, tekanan daripada pihak berkuasa sudah berlangsung terlalu lama dan bukan sahaja terhadap portal berita bahkan media arus perdana.

"Suasana ketakutan dan ancaman terhadap organisasi serta pengamal media perlu dihentikan oleh pihak berkuasa, ketika kebebasan media terus ditekan.

"Geramm menegaskan pendirian kami bahawa salah satu tugas utama media adalah untuk mencetuskan perbincangan sihat. Ia menjadi amalan biasa dalam sebuah negara demokrasi," tegasnya.

Tiada ulasan: