Khamis, 14 Julai 2016

SKMM sekat 11 laman web, 22 pautan bahasa Melayu

SINAR HARIAN
militan IS
Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - "Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat 11 laman web dan 22 pautan URL terlibat dalam penyebaran ideologi IS dalam bahasa Melayu," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, tindakan itu diambil berikutan pemantauan SKMM ke atas outlet media baharu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

"Adalah diharapkan pemantauan berterusan dan tindakan oleh SKMM dan lain-lain agensi akan membendung penyebaran ideologi oleh organisasi pengganas ini melalui media sosial," katanya kepada Bernama hari ini.

Salleh berkata, kerjasama semua pihak adalah penting dan kerajaan ingin mendapatkan bantuan daripada orang awam untuk memaklumkan kepada SKMM jika mereka mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini.

"Memandangkan IS sangat aktif dalam mewujudkan laman web baharu dan akaun media sosial, kami merayu kepada orang ramai untuk melaporkan kepada SKMM jika mereka mempunyai apa-apa maklumat mengenai perkara ini, "katanya.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis juga memantau rapi penerbitan IS dalam bahasa Melayu, dipercayai dikendalikan oleh pengikut kumpulan itu di Malaysia dan Indonesia. - Bernama


Tiada ulasan: