Isnin, 25 Julai 2016

Shafie pilih untuk tolak jawatan nombor dua parti baru

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa dirinya ditawarkan menjadi orang nombor dua dalam parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Bagaimanapun beliau memilih untuk menolak tawaran berkenaan.
 
"Tan Sri Muhyiddin (Yassin) minta saya...berkenaan parti baharu dan beritahu saya, 'Datuk Seri Shafie Apdal, kamu akan jadi timbalan presiden dan saya jadi presiden'.
 
"Tapi saya kata, tak apa. Saya bukannya mahu menjadi presiden, timbalan presiden parti. Tidak perlu. Tun (Mahathir) tubuh, Muhyiddin jadi presiden, saya akan sokong apa yang perlu sokong.
 
"Sudah tiba masa saya balik kampung. Saya perlu bantu orang saya," kata bekas Naib Presiden Umno itu. 
 
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada majlis sambutan hari raya bersama penyokongnya di Kota Belud, Sabah, semalam. 
 
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar tiada yang membuat spekulasi terhadap perkara itu.
 
"Jangan buat spekulasi. Parti lain minta saya 'masuklah' tapi saya cakap 'cukuplah'.
 
"Saya ini tidak ada penyokong. Di Semporna pun berapa ramai yang akan ikut saya. Tunggulah pilihan raya nanti," katanya.
 
Tegasnya, beliau memasuki politik kerana mahu membantu rakyat, bukannya mengejar jawatan.
 
"Perjuangan kita tumpu di negeri Sabah dan hak rakyat Sabah. Isu keluar Malaysia tidak timbul.
 
"Pembangunan bandar, luar bandar di negeri ini harus diimbangi," katanya.
 
 

Tiada ulasan: