Ahad, 10 Julai 2016

Shafie Apdal marah, kecewa atau merajuk pada Umno?

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Siasatlah dulu, kenapa takut sangat nak siasat saya berdepan. Tanya saya apa salah saya bukan terus gantung macam itu," luah bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
 
Katanya, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggantung keahliannya tanpa siasatan, 24 Jun lalu itu dibuat ketika beliau sedang mengerjakan ibadah umrah.
 
"Dalam bulan yang baik kita beramal saya pergi umrah; tak langsung semasa saya hadir (mesyuarat) MT... tak ada tanya saya. Bila saya pergi umrah gantung saya," katanya.
 
Bagaimanapun Shafie cuba mengambil pendekatan yang agak berfalsafah.
 
"Tapi tak apalah. Mungkin ini antara petunjuk Allah apabila saya tunaikan ibadah umrah dan berdoa di Masjid Nabawi. 
 
"Ya Allah saya umat yang lemah dan tak sempurna, tunjukkanlah jalan-jalan yang baik untuk saya membantu agama dan negara. Itu sahaja," katanya.
 
Bagaimanapun persoalan yang seharusnya ditimbulkan ialah mengapakah bekas Naib Presiden Umno itu tidak membuat rayuan terlebih dahulu terhadap penggantungan keahliannya sebelum mengumumkan keluar parti?
 
Apakah beliau terlalu marah dan kecewa dengan penggantungan keahliannya itu hingga perlu mempamerkan egonya dengan membuat pengumuman keluar parti?
 
Shafie yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna mengumumkan demikian pada program Rakyat Bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Semporna minggu lalu.
 
Itu adalah kali pertama beliau kembali ke Semporna sejak keahlian Umnonya digantung ketika beliau menunaikan ibadat umrah. 
 
Hujung bulan lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keahlian Mohd Shafie yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selepas menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.  
 
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti.
 
Keputusan ke atas ketiga-tiga individu itu dibuat MT Umno selepas kesemua mereka disabit kesalahan melanggar disiplin parti.
 
Dakwa masih punya sokongan teguh
 
Sementara itu, Shafie mengingatkan pimpinan Umno supaya tidak memandang rendah usahanya selama ini memperjuangkan dan mengukuhkan pengaruh Umno di Sabah.
 
"Jangan hina saya dengan melemparkan tuduhan pengunduran saya daripada Umno tidak memberi sebarang kesan kepada parti.
 
"Kita tunggu keadaan. Saya dulu antara pengasasnya (Umno Sabah). Bukanlah besar sangat sumbangan saya tapi adalah sikit sumbangan saya di peringkat negeri Sabah dalam membesarkan dan membawakan parti Umno.
 
"Ada yang menyatakan tidak ada kesannya apabila saya keluar dari parti. Kita tunggulah ada kesan atau tidak. Kita tunggu Allah s.w.t.," katanya.
 
Bagaimanapun Ahli Parlimen Semporna itu tanpa berlapik mendakwa beliau masih mempunyai sokongan teguh daripada akar umbi Umno Sabah.
 
Sebagai reaksi pengumuman Shafie itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno menerima keputusan bekas naib presidennya untuk keluar parti. 
 
Beliau berkata menurut peraturan parti, sekiranya Shafie sudah mengisytiharkan keluar parti, secara automatik beliau bukan lagi anggota Umno.
 
"Kita delete sahaja nama dia daripada keahlian (Umno)," katanya apabila diminta mengulas pengumuman Shafie meninggalkan Umno itu.
  
"Sesiapa yang nak keluar daripada Umno, silakan... sebab kita hanya perlukan ahli yang betul-betul bertanggungjawab, setia dan amanah untuk berada dalam parti.
 
"Barangkali dia (Shafie) kecewa digugurkan jawatan daripada kabinet atau mungkin ada sebab lain...dia tak patut ikut emosi, kalau sayang parti jangan ikut emosi, macam-macam masalah boleh jadi," katanya.
 
Mungkin Shafie mengambil keputusan nekad itu kerana terangsang dengan sambutan yang diterimanya daripada penyokong di Semporna. 
 
Pada 27 Jun lalu, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan, susulan tindakan MT Umno menggantung keahlian Shafie. 
 
Bagaimanapun, Ketua Puteri Umno Semporna, Zakiah Kalipunya menafikan beliau keluar parti, sebaliknya menyatakan akan terus setia bersama Umno.
 
Jika yakin pengaruh kuat, mengapa tidak bertahan?
 
Demikian adat politik. Banyak kalanya sokong membawa rebah. Seharusnya Shafie mempertimbangkan mengapa MT Umno hanya menggantung keahliannya dan tidak dipecat seperti Muhyiddin dan Mukhriz. 
 
Jika beliau yakin tidak melakukan kesalahan yang berat melanggar disiplin parti apa ruginya jika beliau secara tertib mengemukakan rayuan? 
 
Umum memang menyaksikan bahawa Shafie tidaklah seligat dan segigih Muhyiddin dan Mukhriz menggabungkan diri dengan gerakan memusuhi presiden Umno yang bercita-cita mahu meranapkan Umno. 
 
Jika Shafie menilai sumbangannya banyak pada penubuhan dan perkembangan Umno Sabah mengapa beliau harus meninggalkan Umno? 
 
Umno Sabah adalah komponen penting Umno Malaysia. Jika yakin pengaruh akar umbinya kuat, mengapa tidak beliau mencabar atau sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukannya sebagai naib presiden parti terlebih dahulu. 
 
Jika hingga kini beliau masih belum mempunyai perancangan menyertai parti lain mahupun menubuhkan parti baru untuk menentang Umno, apa ruginya untuk beliau dan penyokongnya untuk terus berada dalam Umno?
 
Nasib menentukan beliau tergolong dalam kumpulan Muhyiddin dan Mukhriz yang lantang mengkritik presiden Umno. Bagaimanapun umum tahu sikap kritis beliau terhadap Najib itu adalah masih beradab dan berpada-pada.
 
Namun dengan 'berputus arang berkerat rotan' dengan Umno, segala yang dibinanya selama ini akan 'diratah' oleh ramai lagi pemimpin Umno Sabah yang melihat ketiadaannya sebagai jalan pintas untuk berpejabat di Putrajaya.
 
 

Tiada ulasan: