Isnin, 25 Julai 2016

Sedia pakar cabar Jabatan Kehakiman AS

1MDB


MELAKA - Malaysia harus mendepani isu saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) berkaitan 1MDB dengan cara undang-undang.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, negara ini perlu menyediakan satu pasukan pakar undang-undang yang terbaik meliputi dari dalam dan luar negara untuk membela kes ini sekiranya kes berkenaan di bawa ke mahkamah negara berkenaan.

“Jika ada tuduhan daripada AS, kita patut menyediakan pasukan untuk lawan balik, kerana AS lagi suka sekiranya kita mengambil tindakan tersebut daripada kita mengambil sikap berdiam diri.

“Saya khuatir jika berdiam diri, mereka bukan sahaja setakat akan mengambil tindakan undang-undang sivil pada tahap ini, iaitu  untuk merampas harta-harta yang telah diambil tetapi kita bimbang mereka akan bergerak ke hadapan lagi dengan mengenakan tindakan undang-undang secara jenayah terhadap individu-individu terlibat.

“Kita perlu menyediakan pakar untuk berdebat di mahkamah AS dengan memberikan bukti-bukti, hujah-hujah, saksi-saksi serta dokumentasi yang cukup,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran beliau di Ayer Keroh di sini, semalam.

Beliau turut bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat agar bertenang kerana apa yang dikaitkan itu adalah satu penyiasatan, malah baru peringkat tuduhan dan belum di bawa ke dalam mahkamah lagi.

“Rakyat perlu bertenang kerana kes ini lebih bersifat undang-undang daripada bersifat politik jadi kita kena menghadapi kes ini mesti dengan cara undang-undang.

“Kita perlu lawan di dalam sistem undang-undang Amerika Syarikat.

"Bila mereka memfailkan saman bermakna mereka telah kenal pasti tuduhan-tuduhan yang akan dibuat. Antaranya untuk merampas harta-harta yang dianggap telah dibeli dari wang yang ‘dicuri’ daripada 1MDB dan itu baru kajian dan tuduhan belum dibuat lagi.

“Kita masih ada peluang untuk lawan balik di mahkamah AS dengan menyatakan apa yang sepatutnya di mahkamah tersebut,” katanya.


Tiada ulasan: