Ahad, 24 Julai 2016

Sebenarnya Afdlin pun suka dalang 1MDB ditahan

MALAYSIAKINI


"Aku pun sakit kena bayar GST (cukai barangan dan perkhidmatan) tiap hari," kata selebriti popular Afdlin Shauki dipercayai ditujukan kepada pengkritiknya.

Ia adalah susulan kemas kini status dibuat pelakon, pengarah dan ahli usahawan itu mengenai perlunya rakyat negara ini berhati-hati berurusan dengan AS.

Kata Afdlin, kenyataan dibuatnya pada 21 Julai lalu mungkin tidak begitu jelas untuk menyatakan pendiriannya.

Justeru sehari kemudian dia membuat penjelasan lanjut.

Kata usahawan Pelikat Pants itu dia - seperti kebanyakan orang lain - turut gembira jika pesalah yang terlibat dalam skandal 1MDB ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

"Saya gembira kalau aset negara (yang diperoleh melalui dana 1MDB seperti didakwa pihak berkuasa AS) dipulangkan kembali kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun dia mengingatkan supaya semua pihak berhati-hati berurusan dengan AS kerana "sejarah dan fakta" menunjukkan negara itu banyak kali memberi informasi yang tidak betul apabila mahukan sesuatu.
Malaysiakini pada Khamis menyiarkan laporan mengenai pendirian Afdlin berhubung saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS bagi menyita pelbagai harta tanah serta aset didakwa diperolehi melalui penyelewengan dana agensi pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Porak-peranda kerana AS

Beberapa nama disebut dalam laporan DOJ berkenaan, termasuk anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, serta hartawan muda kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.

Riza adalah pengerusi syarikat Red Granite Pictures yang menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang menampilkan Leonardo DiCaprio sebagai pelakon utama.

Bagaiamanapun Red Granite menafikan firma itu menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB untuk menghasilkan filem berkenaan.

Pihak berkuasa Singapura dan Switzerland turut bertindak menyita pelbagai aset didakwa diperoleh melalui penggunaan wang 1MDB.

Di sebalik misteri individu dirujuk dokumen DOJ sebagai "Malaysian Official 1" Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan tiada bukti menunjukkan wang 1MDB digelapkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pula berkata 1MDB sendiri berkata wangnya tidak hilang atau dicuri daripada firma berkenaan.
Kata Afdlin, sukar untuknya mempercayai bulat-bulat apa yang didakwa oleh agensi Biro Siasatan Persekutuan (FBI) negara berkenaan.

Dia kemudian mengaitkan pendirian itu dengan tindakan tentera AS mengebom Aleppo di Syria sehingga mengorbankan ramai orang tidak bersalah.

Afdlin yang pernah melawat mangsa perang Syria berkata rantau Timur Tengah menjadi porak-peranda kerana campur tangan AS.

Katanya, apa yang dimahukan adalah apa "yang terbaik" untuk negara ini.

"Aku pun sakit kena bayar GST tiap hari. Tapi aku dah pergi tengok dengan mata sendiri kehancuran sebuah negara makmur jika kita bagi ruang AS memasuki sini.

"Tiada yang percuma dalam hidup, terutama berurusan dengan AS, betul tak?" katanya.

Dia kemudian menyertakan status itu dengan gambar calon presiden AS daripada parti Republikan, Donald Trump.


Tiada ulasan: