Isnin, 25 Julai 2016

Saya letakkan laporan 1MDB di bawah OSA - Ambrin

Hafiz Yatim


Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini berkata, beliau telah diberikan kuasa oleh perdana menteri (Najib Abdul Razak) pada tahun 2012 untuk merahsiakan apa-apa dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ini termasuk Laporan Akhir 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikemukakan pada bulan Mac tahun ini.

Ambrin memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah yang membabitkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Ambrin menambah, ekoran kebocoran maklumat dalam laporan interim 1MDB yang diklasifikasikan sebagai terhad, ia telah menjangka laporan penuh juga boleh bocor.

"Kami telah meminta nasihat daripada Jabatan Keselamatan kerajaan yang telah dinasihatkan supaya ia dikelaskan sebagai dokumen rahsia.

"Ini supaya PAC dapat jalankan prosidingnya tanpa gangguan luar dan menjaga keutuhan Jabatan Audit Negara sendiri.

"Kami mengikut nasihat dan prosedur bagi laksanakan pengkelasan tersebut," kata Ambrin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Abazafree Mohd Abbas mengenai siapa yang mengelaskan dokumen tersebut, Ambrin berkata, beliau telah diberikan kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi.
DPP: Siapa beri kuasa tersebut?

Ambrin : Kuasa itu diberi oleh perdana menteri pada bulan Januari 2012, sijil ada di pejabat saya, sijil pelantikan dirujuk di bawah Seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi diberikan.

Sehubungan itu, beliau menyenaraikan Laporan Audit Akhir 1MDB di bawah rahsia rasmi dan didaftarkan dengan pendaftar OSA.

Ketua Audit Negara yang merupakan saksi pendakwaan kelima dalam perbicaraan itu menekankan banyak kali semasa perbicaraan bahawa mereka terpaksa mengambil jalan keluar dalam mengklasifikasikan Laporan Akhir 1MDB di bawah OSA ekoran kebocoran laporan interim yang diserahkan kepada PAC pada bulan Julai tahun lalu.

Di bawah Seksyen 2B, OSA menyatakan seorang menteri, menteri besar atau ketua menteri sesebuah negeri boleh melantik mana-mana penjawat awam melalui suatu perakuan di bawah tandatangannya untuk mengelaskan apa-apa dokumen, maklumat atau bahan rasmi sebagai 'Rahsia Besar', 'Rahsia','Sulit' atau 'Terhad' mengikut mana yang berkenaan.

Laporan penuh 1MDB telah dibentangkan kepada PAC pada bulan Mac 2016 sementara laporan interim yang dikelaskan sebagai terhad telah dibuat pada bulan Julai 2015.

Tiada ulasan: