Ahad, 10 Julai 2016

Sarawak Report perdaya orang mengenai 1MDB

SINAR HARIAN
Sarawak Report


KUALA LUMPUR - Sarawak Report gagal menyedari hakikat bahawa Laporan Ketua Audit Negara merupakan salah satu komponen yang digunakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiapkan laporan akhir badan itu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Laporan Ketua Audit Negara itu tidak lengkap kerana ia hanya menangani satu aspek 1MDB.

Malah, dalam kiriman blognya, katanya, laporan lengkap adalah daripada PAC kerana ia bukan sahaja mengambil kira Laporan Ketua Audit Negara tetapi semua maklumat lain yang dikumpulkan.

Beliau berkata, dalam hal ini, Sarawak Report boleh diberi faedah kesangsian kerana mereka diberi maklumat yang silap atau tidak menyedari fakta yang sangat penting ini.

"Sekiranya mereka sedar perkara ini, maka Sarawak Report bersalah memperdayakan orang ramai kerana apa yang dimaklumkan kepada awam telah menyimpang jauh daripada kebenaran," katanya.

Salleh berkata, laporan Sarawak Report juga berkompromi tentang integriti ahli-ahli PAC termasuk beberapa ahli daripada pembangkang.

"Adakah Sarawak Report mempersoalkan kejujuran ahli-ahli PAC," tanya beliau.

Sarawak Report membuat sindiran bahawa PAC dan ahli-ahlinya termasuk daripada pembangkang tidak jujur dan cuba menyembunyikan apa yang mereka temui dalam siasatan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ketulenan dokumen laporan Sarawak Report disiasat]

Khamis lepas, laman pembocor maklumat berpangkalan di London itu mendedahkan sekali lagi apa yang didakwa sebagai petikan penting daripada siasatan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). - Bernama


Tiada ulasan: