Ahad, 24 Julai 2016

Rumah unik 'tersorok' di sebalik pencakar langit

SINAR HARIAN
Rumah unik 'tersorok' di sebalik pencakar langit
 

KETIKA melalui sekitar Jalan Stonor di Kuala Lumpur, ‎pasti ramai yang tidak menyedari kewujudan sebuah rumah Melayu tradisional yang tersergam indah di situ.

'Bersembunyi' di sebalik bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, warga kota sebenarnya tidak perlu pergi jauh untuk menghayati warisan seni bina rumah Melayu lama yang unik di Rumah Penghulu Abu Seman yang terletak berhadapan Hotel Royale Chulan.

Pengurus Komunikasi Badan Warisan Malaysia (BWM) Melanie Anthony berkata rumah yang dibina sekitar tahun 1910 itu merupakan kediaman Bekas Ketua Desa, Abu Seman Nayan di Kampung Sungai Kecil, Bagan Samak, Kedah.

"Namun ia kemudiannya menjadi rumah terbiar disebabkan tiada waris. Ia ditemui pada 1995 dan BWM mengambil inisiatif untuk memelihara dan memindahkannya ke sini (Jalan Stonor).

"Usaha pemuliharaan dan pembinaan semula mengambil tempoh setahun setengah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Melanie berkata usaha restorasi itu ternyata tidak mudah dan memerlukan kepakaran tinggi tambahan pula ketika ia dijumpai, rumah yang menggabungkan seni bina masyarakat Kedah, Perak, Thailand dan China itu rata-rata telah reput.

Ulasnya, seni bina rumah itu juga unik jika dibandingkan rekaan rumah Melayu lain, misalnya mempunyai ukiran kayu bermotifkan haiwan dan unsur dari tamadun China.

"Seni bina di rumah ini juga banyak menggambarkan Penghulu Abu Seman, iaitu seorang yang kaya dan berkuasa pada waktu itu kerana mengikut kajian ukiran melambangkan status penghuni, bumbung juga diperbuat daripada tanah liat dan bukannya atap nipah seperti kebiasaan," katanya.

Turut membezakan ia daripada seni bina rumah Melayu lain ialah kewujudan balai yang digunakan untuk tujuan pentadbiran dan tempat perbincangan dengan penduduk kampung dan kesemua seni bina itu dikekalkan keasliannya.

"Selain warna asal rumah itu dikekalkan rona coklat gelap seperti asal, hiasan dalamannya juga turut disuntik elemen tradisional sepenuhnya agar pengunjung boleh benar-benar merasai suasana kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu.

"Di kawasan kampung pun sudah sukar untuk menemui rumah kampung asli seperti ini kerana sudah ramai beralih pada rumah batu yang moden jadi diharap melalui usaha ini, warisan dan sejarah terdahulu tidak luput begitu sahaja," katanya.

Menurut Melanie selain menjadi tarikan pelancong dan pelajar jurusan seni bina, rumah itu juga turut menjadi pilihan mengadakan majlis keraian seperti majlis perkahwinan malah ramai juga memanfaatkannya sebagai tempat bergambar.

Pengunjung boleh menyertai lawatan berpandu berdurasi kira-kira sejam yang dijalankan dua kali sehari iaitu pada 11 pagi dan 3 petang setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum. - Bernama


Tiada ulasan: