Ahad, 24 Julai 2016

Restu Anwar pada parti baru Mahathir akan bawa reformasi lebih besar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PKR mendakwa keterbukaan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap idea penubuhan parti baru tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu usaha membawa agenda reformasi yang lebih besar.
 
Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Md Akin menyambut baik reaksi pemimpin nombor satu parti itu sambil menegaskan Anwar merestui kerjasama yang akan dijalin parti itu dengan pihak Mahathir.
 
"Saya fikir dari awal lagi Anwar sentiasa konsisten dengan agenda reformasi dan perubahan. Sebab itu saya beranggapan kenyataan terkini beliau tentunya dibuat dalam aspek mengangkat agenda reformasi itu kerana pada hemat dan pandangan beliau.
 
"Dari apa yang kita faham bahawa parti baru yang mungkin digagaskan oleh Muhyiddin dan pasukannya yang dipecat dari Umno, tentu komited untuk membawa agenda perubahan dan reformasi institusi termasuk ikhtiar untuk menukar kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Lembah Pantai, di Bangsar, malam tadi.
 
Mahathir pada minggu lalu mengumumkan bakal menubuhkan sebuah parti baru dan akan menjadi sebahagian komponen dalam gagasan pembangkang demi mendepani Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Bekas perdana menteri itu bagaimanapun menyatakan tidak terlibat secara langsung dalam struktur parti itu, sebaliknya dikatakan bakal didokong oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam pengumuman berkenaan dan menyambut baik idea terbaru Mahathir itu, sebagaimana sokongan mereka terhadap Deklarasi Rakyat sebelum ini yang digerakkan untuk menyingkir kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
 
Anwar, dalam reaksinya terhadap parti baru Mahathir itu menyatakan bahawa beliau terbuka dalam sebarang kerjasama asalkan ia membawa manfaat kepada rakyat.
 
Namun berbeza dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dilihat seolah-olah menjarakkan diri dalam penglibatannya bersama usaha Mahathir, walaupun memberitahu partinya mengalu-alukan kerjama memulihkan tata keloka pentadbiran negara.
 
Iskandar bagaimanapun mengambil sikap berbeza dengan Wan Azizah apabila menyifatkan kerjasama sedemikian bukanlah satu masalah buat PKR.
 
"Saya tidak nampak kerjaasama itu sebagai satu masalah sebab dari segi pendirian PKR tidak pernah membuat keputusan tiada kerjasama dengan mana-mana pihak.
 
"Misalnya mengapa kita bersetuju untuk hadir dan menandatangani Deklarasi Rakyat sebab ada agenda jelas untuk membaa reformasi institusi. Sesiapa yang bersama kita alu-alukan tidak kisah parti yang baru, yang sedia ada atau parti yang hendak bangkit semula," ujar Ahli Parlimen Bukit Katil itu lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: