John R Malott
ULASAN Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Loretta Lynch telah menjadikannya rasmi semalam.
Kata-katanya jelas. Sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion milik rakyat Malaysia telah dicuri.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Keadilan AS (DOJ), dan
Perkhidmatan Hasil Dalaman (agensi hasil cukai AS) telah mengetuai
siasatan sangat teliti selama setahun.
Mereka membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia telah dirompak. Wang
rakyat dialihkan – dicuri – daripada dana kerajaan 1MDB melalui penipuan
dan pengubahan wang haram.
Apa sebenarnya yang berlaku dalam 1MDB selama ini? Siapa curi wang itu?
Ke mana ia pergi? Siapa bertanggungjawab benarkan perkara ini berlaku?
Inilah persoalan-persoalan yang disiasat oleh Jabatan Keadilan AS.
Kita semua tahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang
membentuk dan mengetuai 1MDB, dan taikun ranggi Low Taek Jho yang lebih
dikenali sebagai Jho Low, bekerja di belakang tabir.
Laporan Jabatan Keadilan AS menyenaraikan tiga lagi pegawai-pegawai 1MDB yang terlibat dalam penipuan ini.
Sementara nama mereka tidak disebut, jawatan mereka (CEO, dan lain-lain) dan terma-terma perkhidmatan disenaraikan.
Jadi, mudah untuk mengetahui siapa lagi pegawai-pegawai itu.
Dalam sidang media Lynch, beliau menggunakan istilan “dicuri” berkali-kali.
Lynch juga menyebut “pegawai-pegawai Malaysia yang korup dan
sekutu-sekutu mereka” terlibat dalam pengubahan wang haram, sebuah
jenayah antarabangsa.
Beliau juga menyebut nama “Aziz” beberapa kali. “Aziz” dikatakan antara
yang terlibat dalam kecurian daripada rakyat Malaysia dan pengalihan
wang daripada 1MDB.
Diperincikan juga bagaimana “Aziz” menggunakan wang yang diperoleh
melalui pengubahan wang haram untuk tujuan peribadi – membeli harta
tanah di New York, London dan Los Angeles – malah membikin filem
Hollywood.
Berdasarkan pemfailan Jabatan Keadilan dengan mahkamah, kita dengan
jelas maklum bahawa “Aziz” ialah anak tiri Najib. Mereka menyebut Aziz
dengan nama penuhnya Riza Aziz.
Pemfailan jabatan itu juga merujuk Riza Aziz sebagai mempunyai hubungan
keluarga dengan ‘Malaysian Official 1’, yang juga dikaitkan dengan
skandal ini.
Peranan Malaysian Official 1 ini telah digariskan dalam pemfailkan Jabtan Keadilan.
Jabatan Keadilan juga berkata Malaysian Official 1, yang tidak dinamakan
dalam dokumen-dokumennya, memainkan peranan penting dalam mengarahkan
aktiviti 1MDB, yang kemudian membawa kepada kehilangan
sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion.
Terdapat 32 rujukan kepada Malaysian Official 1 dalam laporan Jabatan Keadilan.
Kesimpulan mudah dapat dibuat berhubung siapakah Malaysian Official 1.
Berdasarkan keterangan, Jabatan Kehakiman AS sebenarnya bercakap tentang
Najib.
Ke mana pula wang itu pergi?
Wang yang dicuri daripada 1MDB – atau seperti kata Lynch, daripada
rakyat Malaysia – digunakan untuk membeli rumah peribadi di New York,
London dan Beverly Hills.
Ketiga-tiganya didiami oleh Riza.
Menurut Jabatan Keadilan AS, sebahagian wang yang dicuri itu digunakan
untuk membayar hutang judi di Las Vegas, di samping menganjurkan parti
mewah. (Mereka tidak nyatakan hutang kepada siapa.)
Ia juga membiayai filem Hollywood dan membeli pegangan dalam EMI
Music Publishing. Ia juga membayar AS$35 juta jet pesawat Bombardier dan
lukisan Claude Monet.
Pemfailan Jabatan Keadilan juga menyebut, banyak wang mengalir kepada
Malaysian Official 1, yang menerima ratusan juta dolar daripada 1MDB ke
dalam akaun peribadinya.
Kerajaan AS telah menjejak aliran wang-wang itu. Ia melalui banyak “cut-outs” kepada putera Arab Saudi, yang kemudiannya menghantar wang itu kepada Najib.
Mungkin ini akan menjelaskan dakwaan kerajaan Malaysia bahawa wang
itu datang dari seorang putera Arab Saudi. Akhirnya, ya, ini betul.
Dia seorang putera, satu daripada ribuan putera di Arab Saudi.
Tetapi menurut Jabatan Keadilan AS, wang itu – wang curi yang Malaysian
Official 1 terima dalam akaun peribadinya daripada putera itu –
sebenarnya berpunca daripada 1MDB.
Ini yang kerajaan AS – Jabatan Keadilan, FBI dan Perkhidmatan Hasil
Dalaman – simpulkan. Dan ini apa yang membuatkan mereka berani bersuara
keapda awam, tidak kira apa kesannya terhadap hubungan AS-Malaysia.
Ini bukanlah pengakhiran. Kerajaan AS meneruskan siasatan jenayah terhadap pengubahan wang haram, penipuan 'wire' dan halangan pada proses keadilan.
Saya pasti sudah tentu akan ada pendakwaan jenayah di masa depan
terhadap individu-individu secara khusus, bermula dengan “Aziz” dan “Jho
Low”.
Buat masa ini, “Malaysian Official 1” akan dinamakan sebagai “dalang bersama konspirasi yang dituduh” pada masa depan.
Tetapi ketika beliau melangkah keluar daripada tampuk kuasa, beliau mungkin dituduh di mahkamah AS.
Kerajaan-kerajaan asing lain di seluruh dunia yang menyiasat rasuah 1MDB
sekarang akan menjadi lebih “cerdas” dan mempercepatkan siasatan
mereka. Lebih banyak pendakwaan, di banyak negara, akan tiba.
Bagi Najib, beliau akan berdepan dengan seluruh kekuatan FBI dan Jabatan Keadilan AS.
Mereka tidak dapat diganggu. Mereka tidak dapat ditangkap. Mereka tidak dapat dituduh menghasut. Mereka tidak dapat dibuli.
Apa yang Najib akan buat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan