Ahad, 10 Julai 2016

Putuskan hala tuju misi pencarian MH370

Ab Aziz Kaprawi
Aziz Kaprawi


BATU PAHAT - Hala tuju pencarian pesawat milik syarikat penerbangan negara, MH370 akan diputuskan tidak lama lagi selepas satu mesyuarat tripartite peringkat menteri tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China dilakukan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pencarian seterusnya akan membabitkan kawasan selatan Lautan Hindi ke perairan Timur Afrika.

Menurutnya, setiap keputusan yang bakal ditetapkan dalam mesyuarat berkenaan diharap memberi manfaat kepada usaha kerajaan bagi merungkai misteri kehilangan pesawat itu selama dua tahun.

“Sebelum ini, mesyuarat di peringkat pegawai telah diadakan pihak kementerian dan beberapa cadangan sudah diambil kira serta diperhalusi.

“Bagi mesyuarat peringkat menteri yang akan diadakan, usul ini akan dibawa bagi mendapat keputusan penuh dalam hala tuju misi MH370. Mesyuarat tripartite berkemungkinan diadakan di Kuala Lumpur, namun kami masih menunggu jawapan dua lagi negara terbabit,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kampung Parit Jelutong, Parit Raja.

Jelas Ab Aziz, keputusan bakal diambil itu mengambil kira nasihat teknikal Pasukan Pakar Satelit.

Terdahulu, pada 24 Mac lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua serpihan yang dijumpai di Mozambique itu hampir pasti milik pesawat MH370.

Tiada ulasan: